Malaysiakini
BERITA

Polis Jerman serbu 7 lokasi lepas ancaman bom dihantar ke masjid

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Okt 2019, 1:51 tengahari

GLOBAL | Polis menyerbu tujuh lokasi di seluruh Jerman pada Rabu sebagai sebahagian siasatan ancaman bom yang dihantar oleh pelampau kanan ke masjid-masjid dan ahli politik di negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan.

Menteri Dalam Negeri Bavaria Joachim Herrmann berkata enam suspek telah ditahan kerana disyaki menghantar mesej Islamofobia selain ancaman bom ke masjid-masjid, parti politik dan institusi media.

"Ancaman e-mel sedemikian bertujuan menakut-nakutkan orang ramai dan mengganggu keamanan sosial," katanya sambil menambah bahawa pihak berkuasa akan terus memerangi ekstremisme dengan segala cara yang mungkin.

Polis merampas beberapa cakera keras semasa penggeledahan di beberapa negeri persekutuan iaitu Bavaria, Baden-Wuerttemberg, Thuringia dan Saxony-Anhalt.

Suspek kemudian dibebaskan manakala siasatan masih dijalankan.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 12 masjid, ibu pejabat parti politik dan agensi berita menerima ancaman bom yang didakwa dihantar oleh pertubuhan pengganas pelampau kanan seperti Blood and Honour, Combat 18 dan Volksfront.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.