Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia Airlines tambah penerbangan ke Beijing
Diterbitkan:  Oct 10, 2019 11:39 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan menambah kekerapan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Beijing daripada tujuh kepada 10 penerbangan seminggu, mulai 1 Jan, 2020.

Ini berikutan penempatan semula operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing (PKX) daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaraya Beijing (PEK).

Dalam satu kenyataan hari ini, MAB menyifatkan perkembangan itu sebahagian daripada perubahan rangkaiannya ke China dan dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia Airlines sebagai penyedia perkhidmatan penuh utama ke China.

Pada masa sama, ini juga dapat menggalakkan perdagangan dua hala dan pelancongan antara China dan Malaysia.

Syarikat penerbangan nasional itu melihat China sebagai pasaran pertumbuhan utama dan komited untuk mengembangkan kesalinghubungan yang mampan ke China menerusi pelaksanaan lebih banyak penerbangan langsung atau melalui jalinan usaha sama dengan syarikat penerbangan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata pembukaan pintu masuk baharu itu dapat memberi peluang kepada Malaysia Airlines untuk memulakan episod baharu dalam hubungan panjangnya dengan Beijing.

Malah, pemindahan ke lapangan terbang Daxing ini turut memberi MAB peluang untuk berkembang dan terus bertapak kukuh di Beijing pada masa depan, kata beliau.

"Ini dapat meningkatkan pengalaman pengembaraan dan tahap keselesaan para penumpang menerusi kemudahan terkini lapangan terbang itu serta membantu aspek kesalinghubungan lebih baik dengan rakan penerbangan lain. Perkembangan ini juga seiring dengan komitmen Malaysia Airlines untuk menyediakan perkhidmatan dan tawaran lebih baik kepada penumpang," katanya.

Penerbangan MH318 bermula 1 Januari depan itu akan berlepas setiap hari dengan tambahan kekerapan pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

Perkhidmatan harian itu akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 0:40 pagi dan tiba di PKX pada 7:00 pagi hari sama manakala penerbangan pulang harian MH319 berlepas dari PKX pada 9:30 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada 4:00 petang hari yang sama.

Penerbangan tambahan MH364 pula akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 2:30 petang dan tiba di PKX pada 8:50 malam hari sama dan MH365 akan berlepas dari Beijing Daxing pada 9:55 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 4:25 pagi keesokannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS