Umno dakwa Lim akan sempurnakan agenda DAP tekan Melayu
Pemuda Umno Kelantan menjangkakan tiada sebarang kelebihan terhadap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, esok.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor mendakwa, jika dilihat pada kegagalan Belanjawan 2019 lalu yang langsung tiada 'boom factor' kepada orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini.
"Ini kerana Guan Eng tahu 95 peratus orang Melayu telah menolak Pakatan Harapan (PH) kerana mereka sedar dengan penipuan, kelicikan dan kerosakan yang dibuat oleh DAP.
"Rakyat kelas bawahan di kampung-kampung tidak akan merasai pelbagai insentif menarik untuk membantu mereka yang bekerja sebagai pekebun getah, peneroka sawit, penanam sayur, petani padi dan nelayan kecil.
"Guan Eng semestinya sekali lagi akan menyempurnakan agenda DAP untuk menekan orang-orang Melayu dengan meminimumkan peruntukan untuk pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana negeri ini dikuasai oleh pembangkang, walhal ketiga negeri ini menyumbang majoriti penduduk di Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Noor Hariri berkata pihaknya juga menjangkakan insentif 'gula-gula dan geli' akan diberi kepada anak-anak muda berumur 18 ke 25 tahun bagi menarik kembali sokongan kepada PH akibat daripada kegagalan menunaikan janji manifesto.
Menurutnya, insentif seperti itu tidak lebih kepada memberi habuan untuk memancing undi dan bukannya kerana ingin meningkatkan kualiti modal insan kepada anak muda tersebut.
"Pemuda Umno Kelantan memberi amaran kepada kepada Guan Eng, jangan jadikan Belanjawan 2020 ini bersifat 'political regime budget' hanya kerana ingin memberi tekanan dan menghukum orang Melayu yang menolak DAP.
"Oleh itu, kami juga mendesak perdana menteri untuk mengadakan pre-council Budget 2020 terlebih dahulu dengan Guan Eng bagi mengelakkan ketiadaan insentif kepada golongan terpenting ini.
"Inilah masanya perdana menteri ingin membuktikan kuasanya tidak tunduk kepada DAP dalam memperjuangkan maruah dan kepentingan Melayu," katanya.

