Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak cadangan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan syarikat yang terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

"Saya tolak cadangan bahawa mereka ini ada kaitan dengan saya. Saya tanya semua keluarga saya: 'Kamu dapat apa-apa dari saya?’.”

Mahathir bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau ditanya apa yang akan dilakukannya untuk memastikan kontrak untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui itu dilakukan dengan adil. Wartawan telah mencadangkan bahawa "peserta terdahulu berkaitan dengan kamu (Mahathir)".

Mahathir menegaskan bahawa kontrak hanya akan diberikan kepada mereka yang mempunyai usul atau kertas kerja yang berdaya maju dan "tidak semestinya (menantu saya").

"Saya akan soal (mengenai) kelayakan kamu," katanya.

Katanya, terdapat banyak peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui sekarang dan berharap lebih ramai akan menyertai.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir mengulangi bahawa tiada pemberian kontrak secara kronisme termasuk projek berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui.

Perdana Menteri menolak kritikan yang dilemparkan terhadap beliau bahawa penerima projek tersebut ini ada hubungan kekeluargaan dengan beliau.

“Saya ingin meminta semua saudara saya, adakah mereka mendapatkan apa-apa daripada saya?

“Mereka kini tidak bercakap dengan saya kerana saya tidak pernah membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan solusi bumbung solar pertama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di negara ini dikenali sebagai M+ oleh Petronas di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya bagaimana beliau akan memastikan hanya syarikat atau individu yang layak sahaja ditawarkan projek susulan ada dakwaan bahawa beberapa pemain industri dianugerahkan projek kerana ada hubungan kekeluargaan dengannya ketika beliau menjadi perdana menteri keempat selama 22 tahun sebelum ini.

Dr Mahathir berkata projek-projek perlu diberikan kepada seseorang dan apabila ia dilakukan maka sentiasa ada dakwaan kronisme.

“Kalau begitu, kita tidak perlu memberi kepada sesiapa pun, maka anda tidak boleh mengatakan apa-apa. Namun, jika anda tidak memberikannya kepada sesiapa, maka negara tidak dapat mencapai kemajuan.

“Tidak semestinya menantu lelaki saya dan semua itu. Ia tidak akan diberikan kepada mereka. Saya akan meminta pengesahan anda,” katanya secara sinis.

Beliau menegaskan kerajaan akan menyokong syarikat yang mempunyai cadangan yang berdaya maju.

Lihat Komen
ADS