Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gelandangan dipenjara 3 tahun kerana rompak telefon bimbit

Seorang gelandangan dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana merompak telefon bimbit seorang wanita, Jun lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Anuar Mohd Idris, 32, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 22 Jun.

Tertuduh didakwa melakukan rompak ke atas Ileya Nadhira Mohd Zahir, 26, seorang penganalisis data dengan merampas telefon bimbit milik mangsa di tepi Jalan Melaka, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 9.30 malam, 21 Jun mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Sewaktu kejadian tertuduh juga telah menggunakan kekerasan terhadap wanita di tempat awam,” katanya.

Mohd Anuar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf.

- Bernama

Lihat Komen
ADS