Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat sebulat suara luluskan RUU NAFCC tanpa pindaan

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Kebangsaan (NAFCC) pada peringkat dasar sebulat suara tanpa sebarang pindaan.

Keputusan itu hadir dengan kerajaan bersetuju merujuk pelantikan Ketua Pengarah NAFCC dan pengerusi lembaga penasihatnya kepada Parlimen sementara RUU itu menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan membuat pelantikan berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

Semasa sesi debat, Shahidan Kassim (BN-Arau) meminta untuk meminda RUU itu, dengan menggantikan perkataan "perdana menteri" dengan "parlimen", untuk membolehkan perundangan memainkan peranan dalam pelantikan jawatan utama NAFCC.

Namun, menteri undang-undang, Liew Vui Keong berkata, Shahidan hanya membuat permintaan lisan tanpa meletakkan usul bertulis.

Liew bagaimanapun berkata: "Saya ambil perhatian dan akan mempertimbangkan saranan Arau."

NAFCC diluluskan sebulat suara dalam undi suara semasa bacaan kedua dan ketiga.

Dalam ucapan penggulungan awal hari ini, Liew berkata kerajaan telah bersetuju untuk merujuk pelantikan Ketua Pengarah NAFCC dan pengerusi lembaga penasihatnya kepada cawangan legislatif selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Ia susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh NGO mengenai keperluan untuk mengehadkan kuasa perdana menteri seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Liew berkata, apabila membentangkan rang undang-undang (RUU) NAFCC untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan membuat keputusan itu selepas beberapa pertemuan dengan pihak berkepentingan.

"Kerajaan mengambil kira pandangan mereka dan mengambil inisiatif bahawa pelantikan Ketua Pengarah dan penasihat lembaga penasihat NAFCC akan dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan parlimen mengenai pelantikan awam utama," katanya.

RUU NAFCC 2019, yang dibentangkan untuk bacaan pertama pada 8 Okt, menyatakan bahawa pengerusi lembaga pengarah dan penasihat akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam perbahasan peringkat dasar mengenai RUU itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) menyambut langkah sedemikian oleh kerajaan.

Syed Ibrahim, yang merupakan ahli jawatankuasa pemilihan parlimen mengenai pelantikan utama, menggesa kerajaan menjadikannya undang-undang bagi membolehkan pelantikan kedua-dua jawatan tersebut dirujuk ke peringkat perundangan.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS