RUU mansuh hukuman mati dijangka dibentang Mac 2020
Rang Undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dikemukakan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, jawatankuasa khas yang ditubuh bagi membuat kajian komprehensif mengenai dasar hukuman itu dijangka selesai melakukan kajian dalam tempoh tiga bulan, sehingga akhir tahun ini.
“Dapatan dan laporan Jawatankuasa Khas ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemantauan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Anti Hukuman Mati Sedunia yang disambut hari ini (10 Oktober).
Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan pada 29 Ogos lalu, dan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 20 September, terdiri daripada sembilan pakar untuk mengkaji berkenaan hukuman tersebut secara menyeluruh.
Kajian itu meliputi syor bersersuaian dan setimpal dengan kesalahan tersebut, selain menjalankan semakan undang-undang holistik, bebas, dan mengadakan libat urus bagi mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh dan pihak berkepentingan.
“Satu moratorium juga dikenakan ke atas semua hukuman mati yang masih belum dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan sejak 10 Oktober 2018.
"Sehingga 9 Oktober 2019, keputusan ini telah memberi impak terhadap 1,274 banduan hukuman mati,” katanya lagi dalam kenyataan itu.
Pada 29 Ogos 2019, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang terdiri daripada sembilan pakar untuk mengkaji dan menjalankan kajian komprehensif mengenai dasar hukuman secara menyeluruh.
Bagi mengotakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang merupakan janji ke-27 manifesto PH, kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan hukuman tersebut pada 10 Oktober tahun lepas.
Pada 13 Mac, kerajaan memutuskan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori meliputi sebelas kesalahan dan memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut.
Ini bermakna, mahkamah mempunyai kuasa untuk sama ada mengekalkan hukuman mati dalam sesuatu kes atau menjatuhkan hukuman penjara setelah mengambil kira fakta dan keadaan kes tersebut.
“Penyemakan undang-undang mengenai hukuman mati merupakan satu perubahan dasar yang ketara dalam sistem pengadilan jenayah di Malaysia yang mana semakan dasar penghukuman disemak untuk kali pertama melalui satu jawatankuasa khas.
“Dalam konteks ini, pelaksanaan hukuman gantian bagi mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan hak asasi manusia sentiasa terbela,” katanya lagi.

