Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ulama kanan PAS yang disaman Adun Dusun Tua, Selangor, berkata beliau "tidak boleh" memberi penjelasan berhubung tindakan mahkamah tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada peguam dilantik untuk menguruskan kes tersebut.

Dihubungi Malaysiakini, Mokhtar Senik berkata beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung saman dan tuntutan maaf dibuat Edry Faizal Eddy Yusof.

"Tak boleh nak jelaskan. Rasanya saya tak (perlu) buat apa-apa komen.

"Semua (urusan) dah serahkan pada peguam saya,” katanya hari ini.

Semalam Edry Faizal mendedahkan beliau mengemukakan saman terhadap Mokhtar berhubung salah satu hantaran dimuat naik anggota jawatankuasa Dewan Ulama Pusat PAS itu di Facebook.

Kiriman itu dikatakan antara lain mengandungi poster yang menggunakan gambar Edry dengan kata-kata menuduh Adun terbabit mendakwa bahawa rusuhan 13 Mei 1969 adalah kisah dongeng.

Menyifatkan kiriman Facebook berkenaan sebagai fitnah, Edry berkata, dia menerima kecaman daripada pelbagai pihak hingga menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat.

"Tujuan saya memfailkan tuntutan tersebut adalah untuk menegakkan hak saya dan membersihkan nama baik saya yang telah dijejaskan oleh Mokhtar.

"Saya rasa amat kecewa kerana sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang mengakui paling Islam, Mokhtar gagal melakukan tabayyun atau soal selidik seperti yang diajar al-Quran," katanya. 

Menurut Mokhtar beliau juga tidak cuba berhubung dengan Edry bagi menjelaskan keadaan yang berlaku.

“Tak ada... tak ada,” katanya ringkas.

Ditanya sama ada Mokhtar akan mengemukakan permohonan maaf selepas tindakan saman dimulakan, beliau tetap enggan memberikan komen.

“Itu pun tak ada komen lagi. Biar peguam yang tengok,” katanya.

Lihat Komen
ADS