Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Dusun Tua saman Mokhtar Senik
Diterbitkan:  Oct 10, 2019 7:01 PM
Dikemaskini: Oct 11, 2019 6:38 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof menyaman Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mokhtar Senik susulan kiriman yang dimuat naik di Facebook 'Mokhtar Dup'.

Kiriman itu dikatakan antara lain mengandungi poster yang menggunakan gambar Edry dengan kata-kata menuduh Adun DAP itu mengatakan bahawa rusuhan kaum 13 Mei 1969 adalah kisah dongeng.

Menyifatkan kiriman Facebook berkenaan sebagai fitnah, Edry berkata, dia menerima kecaman daripada pelbagai pihak hingga menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat.

"Tujuan saya memfailkan tuntutan tersebut adalah untuk menegakkan hak saya dan membersihkan nama baik saya yang telah dijejaskan oleh Mokhtar Senik.

"Saya ingin menambah bahawa saya rasa amat kecewa kerana sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang mengakui paling Islam, Mokhtar Senik gagal melakukan tabayyun atau soal selidik yang diajarkan al-Quran," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Edry yang juga merupakan ahli jawatankuasa DAP Selangor, Mokhtar sebelum ini sudah membalas surat tuntutan menarik balik tuduhan berkenaan.

Namun, kata Edry, Mokhtar tidak membuat permohonan maaf dan sekadar mengatakan bahawa ia hanya ‘bahasa kesat dan caci maki’.

“Dia tak buat, tak minta maaf, tak tarik balik. Dia kata benda ni dah lama.

"Saya tak fahamlah apa maksud dia benda ni dah lama. Benda lama tak semestinya betul. Dia kata biasalah jadi ahli politik kenalah tahan caci maki,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

“Ramai orang percaya saya keluarkan kenyataan itu. Sedangkan saya tak pernah keluarkan kenyataan sedemikian.

“Kononnya dia parti Islam, dia sepatutnya tabayyun. Dia boleh saja siasat dulu kan. Semak dulu betul ke tidak,” tambahnya.

Dalam kenyataan medianya, Edry berkata berkata dalam writ saman itu, dia menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, pemintaan maaf dan injunksi untuk menghalang Mokhtar daripada menerbitkan sebarang kenyataan yang memfitnahnya.

Sebelum ini, pada 20 Ogos 2019 Facebook 'Mokhtar Dup' memuat naik poster yang menggambarkan Edry menyifatkan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai "kisah dongeng".

Pada kiriman itu, turut disertakan keterangan yang mendakwa Edry sebagai seorang yang "tidak tahu sejarah bangsa sendiri".

“Orang cakap minum segelas je air ketum tu sekadar untuk buat ubat. Yang hang pi teguk sampai dua tempayan siapa suruh? Mulalah tak kenal sejarah bangsa sendiri,” kata keterangan Facebook itu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Mokhtar bagi mendapatkan maklum balas beliau.

*Laporan tambahan oleh Fadhli Sulaiman

Lihat Komen
ADS