Ucapan Guan Eng diganggu lepas salahkan BN
Hanya kira-kira lima minit selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020, beliau telah diganggu oleh anggota parlimen pembangkang.
Mereka membuat bising kerana tidak puas hati dengan tindakan Lim yang menyalahkan kerajaan terdahulu dalam isu hutang dan rasuah.
Walaupun Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof cuba menenangkan keadaan, ahli-ahli parlimen pembangkang terus mempersoalkan Lim.
Lim ketika membentangkan Belanjawan 2020 berkata tahun 2020 merupakan tahun yang istimewa di mana Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengilhamkan Wawasan 2020 sejak tiga dekad lalu, pada tahun 1991.
Bagaimanapun, kata Lim Wawasan 2020 itu tidak dapat dijayakan ekoran masalah urus tadbir negara dibawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
"Wawasan 2020 akan berjaya jika tidak disebabkan oleh skandal kewangan, rasuah dan salah tadbir urus oleh Kerajaan terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat petang ini.
Belanjawan 2020 dirangka bertemakan “Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”.
Mengulas lanjut Lim, Belanjawan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu juga tertumpu kepada konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu.
Katanya, kerajaan juga komited untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan negara dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Berang dengan kata-kata yang diucapkan Lim itu, anggota parlimen pembangkang terus membuat bising hingga menyebabkan ucapan menteri kewangan itu terganggu seketika.
Bagaimanapun Lim dilihat tidak mengendahkan pembangkang dan meneruskan ucapan Belanjawan 2020.
Namun, Lim sekali lagi terganggu apabila anggota parlimen pembangkang terus membuat bising hingga memaksa Mohamad Ariff mengingatkan wakil rakyat bahawa waktu berbahas belum bermula.
"Yang berhormat masa untuk membahas belum mula lagi," katanya.
Bagaimanapun, amaran speaker itu tidak diendahkan anggota parlimen pembangkang dan mereka terus membuat bising.
Tidak selesa dengan suasana itu, Mohamad Ariff sekali lagi meminta anggota parlimen pembangkang tidak terus mengganggu Lim.
"Yang berhormat diminta jangan mengganggu ketika menteri kewangan sedang membuat ucapan," katanya.
Dan sebaik sahaja speaker memberi amaran tersebut Lim meneruskan ucapannya walaupun suasana dalam Dewan Rakyat masih lagi bising.
Tetapi kali ini Lim langsung tidak memberi perhatian kepada anggota parlimen pembangkang yang membuat bising dan meneruskan ucapannya.
Namun, tidak dapat disahkan apakah kata-kata yang diungkapkan wakil rakyat terbabit ketika membuat bising sewaktu Lim sedang berucap.

