Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Geran untuk Sabah dan S'wak naik dua kali ganda
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Kerajaan Pakatan Harapan menggandakan kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing kepada RM53.4 juta dan RM32 juta.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bahawa geran kewangan ini dinaikkan dua kali ganda selepas ia tidak pernah disemak semula sejak 1969.

"Sejak tahun 1969, kadar Pemberian Khas tahunan ini iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak belum pernah disemak semula.

"Oleh itu, buat pertama kalinya bermula tahun 2020, Kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat petang ini.

Menurutnya, pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan merupakan sebahagian daripada geran persekutuan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

"Bagi menunjukkan keperihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun," tambah beliau.

Lim berucap ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat yang bertemakan “Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”.

Sementara itu, Lim turut menjelaskan bahawa pada 2018, Sabah dan Sarawak merupakan penerima tertinggi dana daripada kerajaan persekutuan iaitu masing-masing sebanyak RM1.14 bilion dan RM1.30 bilion.

"Bagi tahun 2020, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS