Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan awam dapat bonus RM500, pesara RM250
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 6:38 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan bayaran bonus atau bantuan khas kewangan sebanyak RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti perkhidmatan mereka.

“Kerajaan ingin mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

“Bagi pesara kerajaan, Bantuan Khas Kewangan RM250 akan diberikan. Ia juga turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 yang bertemakan “Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” di Dewan Rakyat petang ini.

Menurutnya, kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019.

Selain itu, katanya, bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam, kerajaan akan menambah baik saraan penjawat awam.

“Pertama, menaikkan kadar bantuan sara hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.

“Kedua, membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai. Bayaran gantian ini adalah bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

“Ketiga, menawarkan perlindungan kemalangan diri berkelompok bernilai RM100 ribu secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baru kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” katanya.

Sebagai tambahan, Lim berkata, bagi membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, kerajaan antara lain akan juga memperkenalkan pembayaran faedah ex-gratia kematian yang akan diberikan kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bernilai sehingga RM150,000.

“Pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG)

kepada penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Jan, 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan RM26 juta.

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang telah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, semua anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat bakal menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan RM35 juta bagi 2020, yang memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba.

"Kerajaan menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia. Oleh itu, bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan RM35 juta," katanya.

Lihat Komen
ADS