Ahli akademik: UPM mampu majukan bidang aeroangkasa
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi mengekalkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa di universiti tersebut sebagai tepat dan akan memberi kebaikan kepada negara.
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi mengekalkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa di universiti tersebut sebagai tepat dan akan memberi kebaikan kepada negara.
Presidennya, Profesor Madya Dr Radzuan Che Ros berkata, ini kerana Fakulti Kejuruteraan UPM mempunyai tenaga pengajar berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang tersebut.
Katanya, pihaknya yakin Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa akan berkembang dan maju sebagaimana yang dirancangkan sebelum ini.
"Universiti lain di negara ini tidak mempunyai tenaga pengajar, berpengalaman dan berkemahiran seperti yang dimiliki oleh UPM.
"Keputusan tersebut sangat baik kepada hasrat negara untuk memajukan bidang angkasa lepas kerana UPM telah melakukanya dengan baik sekali," katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed bahawa Fakulti Kejuruteraan Aero angkasa akan kekal di UPM.
Sebelum itu, bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Shafie Salleh (kiri) mencadangkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa akan dipindahkan ke UKM dan ini mencetuskan kekecohan sehingga membawa kepada perletakan jawatan Naib Chanselor UPM, Datuk Dr Zohadie Bardaei (kanan bawah).
Pengiktirafan UPM
Dr Radzuan berkata, langkah mengekalkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa di UPM juga merupakan pengiktirafan kepada universiti itu menggerakkan fakulti berkenaan.
Mengenai cadangan untuk memindahkan fakuklti berkenaan ke UKM, beliau berkata ia sekadar cadangan dari Dr. Shafie dan bukannya keputusan atau arahan rasmi dari bekas Menteri Pengajian Tinggi.
"Itu hanya cadangan di atas kertas tetapi tidak menjadi kenyataan kerana bukan senang untuk memindahkan sebuah jabatan ke universiti lain kerana terpaksa membawa tenaga kerja dan peralatan sama ke UKM," katanya lagi.
Bagaimanapun, Dr Radzuan enggan mengulas mengenai kekocohan yang pernah berlaku kerana menurutnya ia sudah berakhir dan tidak perlu diungkit lagi.
Difahamkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa akan mengambil pelajar baru pada bulan Jun ini.Mengikut laman Fakulti Kejuruteraan UPM, fakulti tersebut ditubuhkan pada tahun 1966 dengan pelajar seramai 11 orang dan sehingga ini telah melahirkan 178 graduan.
Fakulti ini bertanggungjawab mengajar, menjalankan penyelidikan dan menjadi perunding di dalam bidang aeroangkasa seperti Aerodinamik, Termodinamik, Struktur Bahan, dan Kawalan Pesawat, Rekabentuk dan Simulasi.

