Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Tindakan pada penerima RM500,000 ke bawah pada 'fasa ketiga'
Diterbitkan:  Oct 12, 2019 4:19 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak terhadap pihak yang menerima dana 1MDB kurang daripada RM500,000 selepas ini, iaitu pada fasa ketiga usaha suruhanjaya itu mendapatkan semula dana 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan perkara itu dalam satu program bersama media di Kajang, Selangor hari ini.

"Kita akan pergi ke fasa ketiga. (sekarang) Ini fasa kedua.

"Fasa pertama ialah proses pelucuthakan sivil, di mana wang masih dalam akaun. Kita bekukan akaun mereka dan lakukan pelucuthakan.

"Fasa kedua...Kami secara asasnya meminta mereka (pihak yang disenaraikan) untuk membayar denda, itu syarat minimum," katanya lagi.

Pada 7 Oktober lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun bernilai RM420 juta itu terhadap 80 individu dan entiti bagi mendapatkan semula dana yang mengalir keluar daripada 1MDB.

Menurut SPRM, tindakan itu mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Antara individu yang menerima notis itu ialah bekas pengerusi kumpulan CIMB Nazir Razak, anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Felda, Shahrir Samad, manakala antara entiti tersenarai pula ialah Puteri Umno Malaysia, Badan Perhubungan Umno Perak dan Pulau Pinang, 15 Umno bahagian, MIC dan Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor.

Bagaimanapun Shahrir dilaporkan mempersoalkan mengapa bekas ketua Puteri Umno yang telah menyertai Bersatu, Mas Ermieyati, tiada dalam senarai itu, sedangkan menurutnya nama anggota parlimen Masjid Tanah itu sebelum ini termasuk di kalangan pemimpin Umno yang menerima wang 1MDB.

Mengulas perkara itu, Latheefa kemudian berkata SPRM bertindak secara berperingkat dan memberi tumpuan kepada pihak yang menerima RM500,000 ke atas terlebih dahulu.

Hari ini Latheefa sekali lagi menegaskan senarai penerima kompaun itu tidak dipengaruhi faktor politik.

"...Ada beratus yang terima (dana dari 1MDB), tetapi kami ambil cut off RM500,000 ke atas, kami tumpu jumlah lebih besar terlebih dulu...Bukan isu selektif atau bermotifkan politik," katanya.

Terdahulu, Nazir berkata beliau langsung tidak menggunakan wang yang disalurkan itu dan bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM. Ahmad Maslan pula menafikan ada menerima wang 1MDB.

Ditanya berkenaan penafian Ahmad Maslan, Latheefa enggan mengulasnya tetapi berkata anggota parlimen Pontian itu perlu tampil ke depan untuk menjelaskan dirinya.

"Kita beri mereka masa. Dalam notis sudah tulis dua minggu lepas tarikh serahan, jadi kita tunggu mereka untuk tampil ke depan," katanya.

Lihat Komen
ADS