Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: S'wak dapat peruntukan kedua terbesar, masih tak puas hati?

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan seorang menteri Sarawak yang dilaporkan tidak gembira dengan peruntukan yang diterima negeri itu dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan semalam.

Beliau berkata Sarawak merupakan negeri yang menerima peruntukan pembangunan kedua terbesar - selepas Sabah - dengan jumlah RM4.4 bilion, termasuk RM32 juta menerusi pemberian khas mengikut Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka akan sentiasa kata tak puas hati...sangat susah untuk puaskan hati mereka. Mereka negeri yang terima peruntukan kedua terbesar. Jika kedua pun tak puas hati, (nanti) negeri lain pun tak puas hati.

"Saya harap mereka boleh timbang rasa, mereka dapat (jumlah) yang tidak pernah diberikan kerajaan lama," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini, selepas sesi taklimat Belanjawan 2020 kepada semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata pemberian khas untuk Sarawak tidak pernah disemak semula sejak 1969, dan kerajaan telah menggandakan jumlah itu untuk tahun ini.

"Jika di bawah kerajaan lama mereka boleh berpuas hati sungguh pun mereka dapat kurang, apabila sekarang dapat lebih kenapa tidak berpuas hati lagi? Itu yang saya kurang faham," katanya.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sim Kui Han semalam yang mendakwa kerajaan gagal menunaikan janjinya kepada penduduk Sarawak, dan menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai "Malaya-centric".

Menurut laman Free Malaysia Today, Lim yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata peruntukan RM4.4 bilion kepada Sarawak dan RM5.2 bilion kepada Sabah hanya 17.1 peratus daripada keseluruhan belanjawan pembangunan yang berjumlah RM56 bilion.

Dalam laporan sama, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) Dominique Ng dilaporkan menyifatkan jumlah peruntukan terhadap negeri itu sebagai "kacang" berbanding sumbangan negeri itu kepada pendapatan negara, dalam bentuk minyak dan gas serta cukai.

Semalam Lim membentangkan Belanjawan 2020 berjumlah RM297.02 bilion, merangkumi belanjawan operasi RM241.02 bilion dan belanjawan pembangunan RM56 bilion.

Lihat Komen
ADS