Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kayveas tak berhak iktiraf diri sebagai presiden MyPPP'

Selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menarik balik pembatalan parti MyPPP, majoriti Ahli Jawatankuasa (AJK) menegaskan bahawa M Kayveas tidak berhak mengiktiraf dirinya sebagai presiden.

Diketuai oleh bekas naib presiden kanan, Maglin Dennis D'Cruz menyifatkan Kayveas perlu berhenti mengelirukan ahli parti.

"Surat laporan ROS jelas menyatakan bahawa jawatankuasa penggal 2014-2019 sepatutnya mengadakan pemilihan parti sebelum 31 Disember dengan melantik pihak ketiga yang berkecuali sebagai sebuah badan yang mengawal dan menyelesaikan isu krisis dalaman parti.

"Namun, surat itu tidak mengiktiraf Kayveas sebagai presiden," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama AJK penggal 2014 hingga 2019 di Kelana Jaya, hari ini.

Menurutnya, daripada 32 AJK penggal tersebut, hanya enam AJK bersama Kayveas.

"Ini bermaksud beliau sudah hilang kepercayaan di antara ahli-ahli parti. Jadi, kami minta dia supaya jangan mengelirukan ahli parti seolah-olah dia kini kembali kuasa dan parti itu miliknya," tambahnya.

Terdahulu, pada 7 Oktober, ROS memberi kelulusan bersyarat kepada MyPPP yang dibatalkan pendaftaran selepas isu domestik sebelum PRU ke-14 yang lalu.

Antara syarat yang diletakkan ialah parti tersebut perlu bermesyuarat untuk menubuhkan satu badan bebas bagi mengawal dan mengadakan pemilihan parti sebelum 31 Disember.

ROS turut menyatakan bahawa jawatankuasa parti bagi penggal 2014-2019 bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu pertikaian parti.

Sementara itu, Maglin berkata bahawa kumpulan mereka tidak mempunyai masalah untuk duduk bersama Kayveas untuk menyelesaikan isu pertikaian.

"Kami sedia berjumpa dengan dia. Tak kira dia atau kami panggil ke mesyuarat," katanya.

Kayveas sokong Malaysia Baru

MyPPP menghadapi krisis selepas Kayveas mengumumkan bahawa parti tersebut keluar daripada gabungan BN, sysykan dinafikan bertanding pada PRU ke-14.

Kayveas ketika itu turut memberitahu bahawa MyPPP yang merupakan komponen BN sejak 1970-an akan menyokong Pakatan Harapan pada PRU itu.

Bagaimanapun, katanya, ahli-ahli yang diketuai Maglin dan seorang lagi Naib Presiden Kanan Dr Loga Bala Mohan tidak bersetuju dengan pengumuman tersebut bertindak memecat Kayveas.

Terdahulu, pada 10 Oktober, Kayveas memberi amaran kepada ahli parti untuk terus keluar daripada parti yang didakwa cuba menghancurkan parti.

"Saya bersumpah untuk terus komited dan bekerjasama dengan politik Malaysia baru bagi membersihkan politik kotor, agenda politik yang mengaut keuntungan untuk diri sendiri serta pengkhianat yang menipu bangsa sahaja," katanya kepada pemberita selepas meraihkan ulang tahun ke-26 sebagai presiden di Petaling Jaya.

Kayveas turut menegaskan bahawa surat ROS mengiktiraf jawatankuasa 2014 menjadikan beliau masih presiden parti itu.

"Surat ROS sudah sahkan. Saya masih presiden MyPPP dan saya akan bertanding pada pemilihan akan datang," katanya sambil menambah MyPPP di bawah pimpinannya akan bersama kerajaan PH.

Lihat Komen
ADS