Paling Popular
Terkini
story images
story images

BELANJAWAN 2020 | Insentif-insentif Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas mencerminkan sistem bantuan kerajaan kini lebih bersasar dan meliputi golongan yang lebih layak menerima bantuan yang sebelum ini dilihat tidak menyeluruh hingga ada golongan layak tercicir.

Mengambil skim Bantuan Sara Hidup (BSH) sebagai antara contoh terbaik, penganalisis ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata skim itu yang diperluaskan kepada individu bujang berusia lebih 40 tahun dan orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun dan ke atas yang pendapatan kurang RM2,000 sebulan, adalah tindakan tepat.

“Jika sebelum ini, banyak golongan yang tersasar daripada menerima bantuan itu, kini kerajaan lebih peka dengan kumpulan yang layak menerima bantuan berkenaan. Bagaimanapun, saya fikir selain meluaskan liputan penerima bantuan itu, kerajaan juga wajar menaikkan kadar bantuan yang disalurkan menerusi skim itu,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya lagi, skim itu hanya bersifat jangka pendek sementara kerajaan menyediakan pelan jangka masa pertengahan dan panjang dalam usaha meningkatkan taraf pendapatan golongan B40 dan B20 iaitu golongan yang hanya mampu memenuhi barangan keperluan asas seperti makanan, rumah dan pakaian.

Menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk skim tersebut dan diperluaskan kepada dua kumpulan baru itu.

Kerajaan turut mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar-bandar utama, berkuat kuasa pada tahun hadapan.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan turut memperkenalkan Kad95 di bawah Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan diberikan kepada pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH (B40) yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal. Kad95 akan dilaksana secara berperingkat pada suku pertama 2020.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata kadar gaji minimum yang diumumkan oleh kerajaan itu dilihat masih rendah, namun ia tetap membantu bagi golongan B40 serta miskin bandar.

“Sebenarnya, kerajaan wajar naikkan lagi kadar gaji minimum itu dan memberi faedah pekerja tempatan B40 dan B20. Strategi pelaksanaan kadar gaji minimum baharu hanya bagi kawasan bandar juga ada baiknya, kerana kos sara hidup di bandar lebih tinggi berbanding di luar bandar,” katanya.

Mengenai Kad95, pakar ekonomi itu berkata ia satu inisiatif yang menarik dan beliau menantikan kaedah pelaksanaannya yang akan diumumkan kelak.

Katanya inisiatif itu menunjukkan banyak pihak menerima subsidi petrol namun berbeza dari segi kaedah pembayaran subsidi.

“Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PSP akan dibayar secara tunai yang dikreditkan ke akaun penerima yang layak iaitu penerima BHS, manakala kini bagi mereka yang tidak menerima BSH akan menerima kad.

“Mungkin dua kaedah yang berbeza ini dilihat agak merumitkan…namun bagi saya ini juga sebagai satu ‘eksperimen’ oleh kerajaan untuk melihat kaedah mana yang lebih mudah dan jika kad lebih berkesan, ia mungkin diperluaskan dan jadi sistem yang menyeluruh kepada penerima BSH,” katanya.

Barjoyai turut berpendapat belanjawan kali ini jauh lebih baik berbanding tahun lepas khususnya dari aspek rancangannya serta agihan yang lebih menyeluruh bertepatan dengan tema yang diangkat selain selari dengan hala tuju negara dalam berdepan Revolusi Industri 4.0.

- Bernama

Lihat Komen
ADS