'Peningkatan belanjawan masih tidak cukup untuk Sabah'
BELANJAWAN 2020 | Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew berkata Belanjawan 2020 gagal menyelesaikan isu tuntutan agar 40 peratus daripada hasil persekutuan yang diambil dari negeri itu dikembalikan.
Walaupun memuji langkah kerajaan menggadakan kadar pemberian khas untuk Sabah kepada RM53.4 juta, Christina berkata ia masih tidak mencukupi untuk negeri itu.
Beliau berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan Jumaat lalu tidak menyentuh pulangan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Katanya, buat kali pertama sejak 1969, geran kewangan tahunan sebanyak RM26.7 juta bagi Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 disemak semula.
"Kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan untuk menggandakan geran tersebut kepada RM53.4 juta kepada Sabah dan RM32 juta kepada Sarawak pada awal tahun depan.
"Selain itu, dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun," kata Liew.
Negeri-negeri Malaysia Timur itu juga mendapat peruntukan belanjawan untuk pembangunan tertinggi dengan RM5.2 bilion bagi Sabah dan RM4.4 bilion bagi Sarawak.
Katanya walaupun menyambut baik peruntukan tersebut namun dana pembangunan masih tidak mencukupi untuk membangunkan kawasan luar bandar di Sabah, yang jauh ketinggalan.
"Peruntukan RM300 juta untuk pembaikan sekolah daif juga tidak mencukupi," tambah Liew.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah berkata cadangan Kerajaan Persekutuan membayar balik 50 peratus kutipan cukai pelancongan kepada setiap negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, juga tidak mencukupi untuk penyelenggaraan atau membaik pulih infrastruktur pelancongan sedia ada.
Bukti komitmen kerajaan
Bagaimanapun, Ketua Program Ekonomi Perancangan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Janice Nga lebih optimis terhadap peruntukan untuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, Belanjawan 2020 yang menyaksikan pelbagai galakan dan peruntukan diberikan kepada Sabah adalah bukti komitmen kerajaan untuk membangunkan negeri ini secara lebih mampan serta seimbang demi kesejahteraan rakyat.
Katanya ia juga membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), lapor Bernama.
"Peruntukan dinaikkan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2020 itu membuktikan komitmen kerajaan PH dan ini sekali gus menunjukkan prestasi ekonomi negara mempunyai kemajuan positif kerana kerajaan mempunyai keupayaan untuk meningkatkan peruntukan kepada kedua-dua negeri.
"Justeru, ini adalah indikator yang bagus. Walaupun ekonomi dunia merudum (pada ketika ini), namun, kerajaan masih mampu mengekalkan positiviti. Selain itu, bajet ini juga realistik dan holistik," katanya.
Nga berkata ia adalah langkah positif diambil oleh kerajaan PH ke arah merealisasikan antara intipati terkandung dalam MA63, dan meskipun dibuat secara berperingkat namun usaha itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di Sabah serta juga Sarawak.
Ini kerana, peruntukan itu boleh digunakan bagi memperkasakan lagi pembangunan di seluruh pelosok Sabah terutama dalam aspek infrastruktur dan prasarana asas untuk kemudahan serta keselesaan rakyat, katanya.
"Namun, apa yang lebih penting sekarang ini adalah bagaimana kesemua peruntukan itu boleh dilaksanakan secara lebih efektif dan efisien sekali gus memastikan ia sememangnya sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi," katanya.

