Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,710 anggota, pegawai polis kawal PRK Tanjung Piai

PRK TG PIAI | Seramai 1,710 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang berlangsungnya tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, di Pontian mulai 31 Okt ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata antara tugas-tugas ialah di saluran, di tempat mengundi, menjaga keselamatan pada hari penamaan calon dan di tempat penjumlahan undi.

“Kita telah meletakkan PRK ini dalam tiga fasa iaitu fasa pertama pada hari penamaan calon, fasa kedua sepanjang tempoh kempen dan fasa ketiga adalah pada hari mengundi.

“Keseluruhan kekuatan berjumlah 1,710 melibatkan 241 pegawai kanan dan 1,469 pegawai dan anggota. Daripada jumlah itu, kita juga akan dapatkan bantuan dari luar daerah iaitu seramai 845 orang terdiri daripada 93 pegawai dan 752 anggota,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian hari ini.

Ketika ditanya sama ada terdapat penambahbaikan dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) PDRM berdasarkan PRU lepas, Mohd Kamarudin berkata tiada sebarang perbezaan kecuali pertambahan anggota dan pegawai yang bertugas memandangkan Tanjung Piai dijangka menjadi tumpuan.

“Kita juga percaya pihak-pihak yang bertanding akan berusaha memastikan kejayaan parti mereka. Jadi kita akan tingkatkan usaha untuk memastikan elemen-elemen yang boleh mengganggu-gugat perjalanan proses ini dapat kita elakkan,” kata beliau.

Setakat ini, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan dengan PRK.

“Kita akan pastikan proses penamaan calon dan proses mengundi akan berjalan dengan licin dan lancar termasuk aspek keselamatan dan lalu lintas.

“Apa yang penting, saya harap mereka ini (penyokong parti) bertenang, kawal diri dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh menyebabkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Beliau turut berkata pihaknya juga akan memantau kesalahan jenayah siber sepanjang PRK ini.

Berkenaan dengan sebarang tangkapan berkait dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Johor setakat ini, Mohd Kamarudin mengesahkan tiada sebarang tangkapan di Johor.

“Siasatan berkenaan perkara ini (LTTE) dijalankan oleh pihak Cawangan Khas (Bukit Aman). Mereka mempunyai maklumat-maklumat tersendiri (tapi) setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan di Johor,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS