Kerajaan Negeri Sembilan akan membantu membina semula kuarters Jabatan Kerja Raya yang rosak akibat ribut di Rantau, semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sebanyak empat buah rumah dilaporkan rosak dan kerja baik pulih akan dilakukan dengan segara.

"Kita telah mengenal pasti rumah yang terlibat dan kerja-kerja baik pulih akan bermula pada hari ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Rumah Amal "Tampal Rumah" Insaf Malaysia di Nilai, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J. Arul Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri Ismail Ahmad dan Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir.

Aminuddin berkata dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau yang turut terjejas dalam kejadian itu akan dinilai tahap keselamatan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS).

Ini katanya bagi menjamin keselamatan pelajar dan seluruh warga sekolah.

"Hari ini mereka (Jabatan Pendidikan Negeri) akan membuat keputusan sama ada memindahkan dewan kepada bilik darjah atau kelas yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata JPNNS dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memutuskan kaedah terbaik dalam memastikan perjalanan peperiksaan dapat diteruskan.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang semalam, seramai 13 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kediaman mereka rosak akibat ribut.

Selain rumah, SMK Rantau juga yang akan digunakan sebagai pusat peperiksaan SPM turut rosak.

- Bernama