Paling Popular
Terkini

KINIGUIDE | Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah salah satu daripada beberapa kumpulan gerila yang berjuang menentang kerajaan Sri Lanka bagi mencapai kemerdekaan di utara dan timur kepulauan itu, yang mana majoriti penduduknya berketurunan Tamil.

Secara beransur-ansur LTTE semakin dikenali di kalangan kumpulan-kumpulan ini dan di kemuncak kekuasaannya berjaya melebarkan pengaruh dengan mendirikan wilayah sendiri di utara negara itu.

Meskipun kumpulan itu dikutuk kerana menggunakan tentera kanak-kanak, pengebom bunuh diri dan melakukan pembunuhan politik, LTTE berjaya menarik sokongan dari kalangan mereka yang berasa ditindas oleh kaum majoriti Singhala.

Pada tahun 2009, LTTE dikalahkan oleh tentera Sri Lanka dan tokohnya Velupillai Prabhakaran serta kebanyakan pemimpin lain terbunuh, manakala yang lain ditangkap. Lebih 10,000 anggota ditahan.

Punca peperangan

Dari segi sejarah, gelombang penghijrahan etnik Tamil ke Sri Lanka berlaku sejak beribu-ribu tahun. 

Kerajaan-kerajaan Tamil wujud di utara bersama dinasti Singhala di selatan dan tengah pulau itu.

Malah etnik Tamil semasa pemerintahan dinasti Chola yang berpusat di Thanjavur (Tamil Nadu moden), juga pernah menakluki pulau itu.

Kekuatan mereka memuncak di bawah pemerintahan raja Rajendra Chola I yang menakluki sebahagian besar pulau itu pada 1017 dan menculik Raja Singhala, Mahinda V.

Walaupun raja-raja Singhala secara beransur-ansur kembali ke tanah air mereka, sebuah kerajaan Tamil yang bebas wujud selama beberapa abad yang berpusat di sekitar bandar Jaffna.

Apabila Sri Lanka diberikan kemerdekaan dari penjajah pada tahun 1948, etnik Tamil mendapati mereka menjadi minoriti, dengan kaum Singhala membentuk 69 peratus daripada penduduk di pulau ini.

Ketegangan kaum memuncak pada tahun 1956 dengan lulusnya Sinhala Only Act yang menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara. 

Bantahan itu membawa kepada pembunuhan kaum dengan lebih 100 orang Tamil dibunuh. Pada tahun 1958 jumlah kematian makin meningkat ketika ketegangan antara Singhala dan Tamil meletus lagi.

Kelahiran LTTE

Pada tahun 1970, Sri Lanka menjadi semakin berpecah. Ini termasuk kebangkitan pelampau Singhala berhaluan kiri melalui Janatha Vimukthi Peramuna yang melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Sirajamo Bandaranaike pada tahun 1971. Dianggarkan 30,000 orang kehilangan nyawa.

Pada masa ini ramai pemuda Tamil berasakan bahawa ahli politik mereka terlalu mengalah kepada kerajaan persekutuan.

Beberapa pemuda Tamil mula menjalankan operasi gerila terhadap pihak berkuasa dan berakhir dengan pembunuhan terhadap Datuk Bandar Jaffna, Alfred Duraiappah yang ditembak mati di sebuah kuil pada 1975. Pembunuh bertopeng menyasarkan beliau kerana dikatakan mengkhianati masyarakat Tamil.

Beberapa tahun selepas itu kumpulan yang dikenali sebagai Tamil New Tigers mendakwa Duraiappah ditembak oleh Velupillai Prabhakaran, yang kemudian menjadi watak utama dalam LTTE.

Perang Saudara bermula

Persengketaan etnik terus meningkat. Berikutan pilihan raya umum pada tahun 1977, lebih 300 orang Tamil terbunuh dalam pembunuhan anti-Tamil, manakala pada tahun 1981, perpustakaan Jaffna yang bersejarah dibakar oleh pasukan keselamatan negeri.

Pada tahun 1983 berlaku peperangan dasyat dengan peristiwa yang dikenali sebagai Black July. LTTE menjalankan serangan hendap terhadap tentera Sri Lanka dengan membunuh 13 askar, dan sebagai tindak balas ratusan atau mungkin ribuan orang Tamil dibunuh.

Dalam suasana Perang Dingin adalah mudah bagi kumpulan pemberontak mendapatkan senjata, sokongan kewangan dan latihan. Oleh itu terdapat beberapa kumpulan turut bersaing dengan LTTE.

Pada April 1984 Ketua Menteri Tamil Nadu M Karunanidhi menjemput pemimpin lima kumpulan militan Tamil terkemuka iaitu Front Revolusi Pembebasan Rakyat Eelam (EPRLF), Pertubuhan Revolusi Pelajar Eelam (EROS), Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Pertubuhan Pembebasan Rakyat Tamil Eelam (PLOTE) dan Pertubuhan Pembebasan Tamil Eelam (TELO), untuk mengadakan perbincangan ke arah menyatukan kumpulan-kumpulan ini.

Ia bagaimanapun gagal dan seiring dengan waktu LTTE menjadi kumpulan dominan apabila menghapuskan pesaing-pesaingnya dengan melakukan penangkapan dan pembunuhan.

LTTE juga terkenal kerana penggunaan askar kanak-kanak, pengebom bunuh diri dan pembunuhan politik, termasuk ramai ahli politik Tamil beraliran sederhana yang masih menyokong kerajaan Persekutuan dan tidak menyokong pembentukan negara Tamil.

Walaupun reputasinya menggunakan pendekatan ganas, LTTE mendapat banyak simpati dan sokongan kewangan dari segenap penjuru.

Organisasi itu mendapat pembiayaan dari beberapa tempat termasuk dari Malaysia. 

Selvarasa Pathmanathan, yang menjadi ketua jurucakap antarabangsa LTTE, beroperasi dari Malaysia dari tahun 1987 hingga 1990 sebelum beralih ke Thailand.

Di kemuncaknya, LTTE mengendalikan sebuah negara 'de facto' di bawah kawalannya yang dinamakan Tamil Eelam dengan Kilinochchi sebagai pusat pentadbiran.

Ia menubuhkan tentera udara sendiri dan tentera laut, mempunyai mata wang sendiri, radio, televisyen serta sistem kesihatan, pendidikan dan mahkamah.

Hubungan LTTE dengan India menjadi buruk dengan kehadiran tentera India (Peace Keeping Force India) dari tahun 1987 hingga 1990.

Pada bulan Mei 1991 seorang pengebom bunuh diri membunuh bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi dan 14 yang lain pada perhimpunan di Sriperumbudur, Tamil Nadu.

Dua tahun kemudian, satu lagi pengebom bunuh diri meragut nyawa Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa.

Tahun-tahun terakhir

Walaupun popular kerana melakukan pembunuhan, LTTE secara umumnya mengekalkan tahap kekuatan dan sokongan selama 20 tahun. 

Pada satu ketika pada tahun 2002, LTTE menggugurkan tuntutan untuk mewujudkan negara pemisah dengan cuba menyelesaikan masalah autonomi serantau.

Perjanjian gencatan senjata diisytiharkan dan peperangan dilihat berakhir dengan penyelesaian kekal, tetapi perbincangan terhenti selepas enam pusingan, apabila wilayah itu dilanda teruk oleh tsunami Asia pada tahun 2004.

Pada tahun 2006, Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa (gambar atas)  memutuskan untuk mengekalkan keamanan dan memusnahkan LTTE secara ketenteraan. Taktik-taktik peperangan darat digunakan termasuk pembantaian orang awam Tamil di kem-kem tahanan.

Akhirnya, pada bulan Mei 2009, LTTE ditewaskan melalui ketenteraan dan Velupillai terbunuh bersama seluruh keluarganya dan kebanyakan penyokongnya yang setia.

Perang selama 26 tahun itu mengorbankan kira-kira 80,000 hingga 100,000 orang. Banyak kekejaman hak asasi manusia dilakukan terhadap orang awam dalam usaha terakhir tentera Sri Lanka untuk mencapai kemenangan.

Selvarasa, yang cuba menghidupkan LTTE ditangkap di sebuah hotel Kuala Lumpur dalam tempoh tiga bulan selepas kekalahan itu.

Tahun-tahun selepas itu

Sri Lanka terlibat dalam proses pembinaan semula negara itu yang memeritkan. 

Velupillai mempunyai pengikut yang pada awalnya enggan percaya dia telah mati, tetapi dari masa ke masa, penyokongnya mengakui tiada sesiapa yang menang dalam peperangan itu.

Pada 4 Sept 2016, Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Ansar (gambar) diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL oleh penduduk tempatan.

Sementara itu di India, sebuah parti politik yang dikenali sebagai Naam Tamilar Katchi cuba menghidupkan semula legasi LTTE.

Parti itu dipimpin pengarah filem Seeman yang menyeru penyatuan tanah air Tamil di Tamil Nadu dan utara Sri Lanka.

Ia hanya mendapat sedikit sokongan di kalangan rakyat apabila kurang daripada dua peratus mengundi parti itu pada pilihan raya negeri Tamil Nadu pada tahun 2016, walaupun seramai 234 calon diletakkan.

Tumpuan selama 10 tahun terakhir adalah proses memulihkan semula keadaan, yang turut disokong dari segenap penjuru.

Terdapat ribuan pelarian Tamil Sri Lanka di seluruh dunia dan mereka yang hilang juga mencatatkan angka yang tinggi.


Kiniguide ini disusun oleh Martin Vengadesan.


Lihat Komen
ADS