Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan selepas membentangkang Belanjawan 2020 yang pada keseluruhannya nampak agak bertanggungjawab dalam mengendalikan kewangan Kerajaan, dengan kekangan yang sedia ada.

Dapat diperhatikan bahawa perbelanjaan sosial ke atas Pendidikan, Kesihatan, Perumahan, program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan juga program-program mensasarkan petani-petani dan nelayan-nelayan telah dikekalkan.

Kami juga menghargai usaha yang dilakukan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Malaysia dan menangani ketidakseimbangan dan membina keupayaan dalam sektor tersebut.

Adalah bagus kerana beberapa inisiatif mesra alam sekitar telah diambil seperti keputusan untuk memperoleh 500 buah bas elektrik untuk penambahbaikkan pengangkutan awam, peruntukan untuk memperbaiki pengurusan hutan dan program untuk membendung banjir.

Namun, PSM ingin mengetengahkan beberapa aspek dalam Belanjawan 2020 yang menimbulkan kebimbangan yang memerlukan perhatian serius kita semua. Ini termasuk:

1. Perumahan untuk kuintil termiskin (B20)

Kita tahu daripada angka kerajaan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada isi rumah di Malaysia tidak memiliki rumah mereka sendiri. Majoriti daripada lebih kurang 1.8 juta keluarga ini berada di kuintil terbawah (20 peratus terbawah) dalam piramid sosio-ekonomi Malaysia, dengan pendapatan isi rumah sebulan RM3,000 dan ke bawah. Tiada apa-apa dalam Belanjawan ini untuk keperluan perumahan mereka.

Skim Rumah Mampu Milik yang dilancarkan dalam Belanjawan 2019, yang memperuntukkan RM1 bilion di bawah Bank Negara Malaysia untuk memberi pinjaman faedah rendah (3.5 peratus) kepada keluarga dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan, menyaksikan kadar penyertaan yang sangat rendah pada tahun lepas.

Sehingga bulan Jun 2019, hanya lebih kurang 300 buah keluarga tergolong dalam kategori berpendapatan di bawah RM2,400 sebulan mengambil pinjaman ini. 

Ini jelas menunjukkan bahawa keluarga yang termiskin yang membentuk golongan B20 di negara kita, tidak berkemampuan untuk membeli rumah-rumah yang telah ditawarkan di pasaran pada masa kini. Respon kerajaan adalah memperluaskan skim ini untuk merangkumi keluarga yang berpendapatan sehingga RM4,300. 

Kuintil yang kedua miskin juga memerlukan bantuan untuk membeli rumah, tetapi hakikat ini tidak patut mengalihkan perhatian kita daripada kebenaran bahawa Skim Rumah Mampu Milik itu tidak dikonsepkan secara betul dan masalah yang dihadapi oleh kuintil terbawah masih belum diselesaikan.

Kita perlukan perumahan sosial. Syor PSM adalah kerajaan perlu membangunkan stok perumahan sosial yang dapat disewa pada kadar RM100 hingga RM200 sebulan kepada keluarga B20 (kuintil terbawah).

Skim perumahan sosial ini perlu dilengkapi dengan kemudahan untuk penjagaan kanak-kanak, aktiviti kemasyarakatan dan padang permainan, supaya petempatan ini tidak merosot menjadi kawasan sesak bandar (urban slum).

Contoh yang diamalkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembagunan (HDB) di Singapura patut dikaji dan dilaksanakan. Akan tetapi, tiada apa-apa dalam Belanjawan ini yang mengikut halatuju ini. Kerajaan negara kita nampaknya masih bergantung pada pasaran swasta untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dapat dilakukannya sehingga kini.

2. Isyarat yang salah kepada pemaju hartanah

Keputusan untuk menurunkan nilai ambang bagi penjualan rumah dan pangsapuri kepada warga asing dari RM1 juta kepada RM600,000 akan membawa kesan buruk kerana menggalakkan pemaju untuk terus membina rumah mahal yang jauh di luar kemampuan untuk kebanyakan keluarga di Malaysia.

Bukan sahaja rumah yang betul-betul mampu milik untuk golongan M40 (dengan harga jualan RM300,000 dan ke bawah) tidak dibina dalam jumlah yang mencukupi, harga tanah juga juga dinaikkan oleh pembinaan rumah mahal untuk golongan ekspatriat.

PSM menyedari bahawa kerajaan perlu mencari jalan keluar untuk pemaju yang mempunyai harta kediaman tidak terjual dengan nilai RM20 bilion, tetapi kami berpandangan bahawa mereka patut juga diberi satu mesej yang jelas, iaitu mereka tidak boleh lagi terus membina rumah yang begitu mahal pada masa depan.

Syor PSM adalah membenarkan mereka menjual kepada warga asing tetapi perlu mengenakan penalty sebanyak 25 peratus daripada harga jualan yang dibayar kepada kerajaan untuk digunakan dalam pembangunan stok perumahan sosial.

Dalam erti kata lain, kerajaan boleh memberikan talian hayat kepada pemaju untuk mengelakkan kemuflisan, tetapi pada masa yang sama tidak membenarkan mereka mengaut keuntungan lumayan daripada tingkah laku mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

3. Pelancongan Kesihatan

PSM sangat kecewa dengan peruntukan yang disebut dalam perenggan 85 teks ucapan Menteri Kewangan, iaitu RM25 juta disalurkan untuk mempromosikan Pelancongan Kesihatan.

Jumlah ini agak kecil berbanding dengan perkara lain dalam Belanjawan, tetapi pemikiran di sebaliknya yang mengecewakan kami. Kerajaan nampaknya percaya bahawa penjagaan kesihatan boleh dianggap sebagai satu komoditi dan digunakan untuk memperoleh pendapatan dalam matawang asing untuk Malaysia.

Aktivis-aktivis kesihatan dan ahli-ahli akademik telah mengemukakan semua hujah yang menyatakan bahawa promosi pelancongan kesihatan mengembangkan permintaan di hospital swasta dan kemudiannya mempercepatkan pengaliran keluar sumber kepakaran perubatan dari hospital kerajaan. Ini nampaknya tidak dipedulikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan pasukan pembuat dasarnya.

Realitinya, kekurangan doktor pakar yang berpengalaman adalah masalah yang besar di dalam hospital kerajaan dan ia menjejaskan kualiti rawatan yang diterima oleh golongan B40 dan M40 yang pergi ke hospital kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan.

Statistik menunjukkan bahawa 75 peratus daripada rakyat Malaysia mendapat rawatan pesakit dalam di hospital kerajaan. Adalah tidak boleh diterima sama sekali bahawa kerajaan kita mempromosi kegiatan perniagaan yang menjejaskan kualiti penjagaan di hospital kerajaan.

Skim MySalam

Pengendalian skim insurans kesihatan MySalam adalah satu lagi punca kebimbangan. Walaupun ia bagus untuk perlindungan di bawah MySalam diperluaskan dengan menambahkan jumlah penyakit kritikal yang dilindunginya daripada 36 kepada 45 jenis, dan memperluaskan had umur sehingga 65 tahun, tetapi ia adalah amat mengecewakan kerana tiada perundingan langsung dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang peka pada isu kesihatan ataupun Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), berkenaan dengan kritikan-kritikan yang telah diberikan tentang MySalam.

Kementerian telah meneruskan skim ini dengan pendekatan “kami tahu yang terbaik dan kami tidak perlu dengar pada anda” yang ditunjukkan sejak skim ini dilancarkan tahun lepas.

Kami tahu bahawa kerajaan telah membayar syarikat insurans Great Eastern sebanyak RM400 juta untuk perlindungan yang diberikan oleh MySalam pada tahun 2019. Kami juga tahu bahawa bayaran yang dikeluarkan daripada MySalam kepada rakyat Malaysia adalah kurang daripada RM5 juta dari 1 Januari 2019 sehingga kini.

Kami tiada jawapan yang jelas tentang apa akan terjadi dengan jumlah wang yang tinggal daripada RM400 juta yang dibayar kepada Great Eastern untuk tahun 2019 – siapa akan memegangnya? Berapakah caj pengurusan yang dipotong oleh Great Eastern untuk perkhidmatannya?

Apakah rancangan kerajaan untuk RM395 juta yang sekarang ini dalam tangan Great Eastern? Adakah Great Eastern akan dibayar RM400 juta lagi pada bulan Januari 2020 untuk memberikan perlindungan bagi tahun 2020?

Adalah diharapkan bahawa isu-isu ini akan dijawab dalam perbahasan mengenai Belanjawan yang akan diadakan di dalam Parlimen, dan harap ia dapat memecahkan persepsi bahawa seluruh skim MySalam ini hanyalah hasil perjanjian sulit antara Kementerian Kewangan dengan Great Eastern.

5. Kutipan cukai berbanding KDNK yang menurun

Pada penghujung ucapannya semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan menyebut bahawa hasil kutipan cukai hanya 13.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2017. 

Beliau nampaknya agak bangga dengan kenyataan bahawa ia lebih rendah berbanding 19 peratus untuk negara Vietnam. Kami di PSM melihat ini agak berbeza sekali.

Dalam pemahaman kami, walaupun ekonomi pasaran bebas menjana banyak kekayaan, tetapi dengan ketidakseimbangan dalam kuasa pasaran, pengagihan kekayaan yang dijana selalunya menjurus kepada golongan 1 peratus terkaya dalam masyarakat. 

Oleh itu, salah satu tanggungjawab kerajaan adalah menggunakan hasil kutipan cukai bukan sahaja untuk membayar kos pentadbiran, tetapi juga untuk memperbetulkan ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan negara.

Untuk melakukan demikian, kerajaan perlu mengutip hasil cukai yang mencukupi. Hasil kutipan cukai di Malaysia ialah 21.4 peratus berbanding KDNK pada tahun 2012, dan ia dikurangkan secara beransur-ansur lagi dan sekarang sudah turun sehingga 13.1 peratus!

Kami berpandangan bahawa seluruh rakyat Malaysia harus bimbang tentang penurunan hasil kutipan cukai ini kerana ia pastinya menghadkan sejauh mana kerajaan kita dapat mencampurtangan untuk memberikan sokongan kepada golongan B20, ibu tunggal, warga emas, dan untuk melindungi alam sekitar kita.

PSM memahami bahawa dengan struktur ekonomi global sedia ada, negara kita tidak boleh meningkatkan cukai korporat secara mendadak oleh sebab ini mungkin akan menyebabkan pemindahan keluar syarikat-syarikat korporat, tetapi kami berpendapat ini ialah isu penting yang perlu diletakkan dalam Agenda Nasional dan dibincangkan kerana terdapat cara-cara di mana ia boleh ditangani.

Kami sangat kecewa bahawa kerajaan kita sekarang ini langsung tidak melihat penurunan hasil kutipan cukai berbanding KDNK ini sebagai satu masalah yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Terdapat banyak lagi isu lain yang dibawa dalam Belanjawan ini di mana PSM mempunyai pandangan yang berbeza. Kami akan mengemukakan lebih banyak analisis selepas ini. 

PSM akan terus memantau pengurusan ekonomi Malaysia dan menyampaikan komen dan cadangan kami untuk pertimbangan pihak kerajaan dan juga orang ramai.


DR JEYAKUMAR DEVARAJ ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS