Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah arah serah gambar barangan rampasan kepada Najib, Rosmah

Pihak berkuasa hari ini menyerahkan sebilangan gambar kepada bekas perdana menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor untuk dikenalpasti sebagai barangan yang dirampas daripada mereka pada tahun lalu.

Ini susulan selepas peguam kerajaan dalam saman pelucutan sivil yang berkaitan dengan kes 1MDB bersetuju untuk menyerahkan gambar-gambar kepada peguam pasangan itu, untuk membantu mereka mengenal pasti sama ada barangan itu adalah yang dibeli atau hadiah yang diberikan kepada mereka.

Menurut prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, peguam kerajaan pada mulanya bersetuju untuk menyerahkan gambar-gambar berwarna itu tetapi dengan satu syarat - pasangan itu menarik balik permohonan mereka untuk memeriksa barangan yang dirampas secara fizikal.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah membantah cadangan itu.

Shafee memberitahu mahkamah bahawa dia tidak akan dapat berunding dengan anak guamnya tanpa menunjukkan gambar-gambar itu terlebih dahulu.

"Beri kita gambar (dulu) untuk kita tunjukkan kepada anak guam.Yang Arif boleh tetapkan tarikh untuk sebutan.

"Kita akan memaklumkan (kepada mahkamah) jika gambar itu mencukupi," katanya kepada mahkamah.

Zaini kemudian membenarkan permohonan Shafee, dan mengarahkan supaya gambar-gambar itu diberikan kepada peguam Najib dan Rosmah terlebih dahulu.

Hakim kemudian menetapkan jam 8.30 pagi pada 15 November sebagai tarikh sebutan daripada peguam-peguam itu sama ada Najib dan Rosmah dapat mengenal pasti semua barangan berdasarkan foto-foto berkenaan, atau jika mereka masih mahu membuat permohonan untuk memeriksa barangan tersebut secara fizikal.

Selain Shafee, Najib juga diwakili Syahirah Hanafiah dan Nurfazleen Hazrina Rahim, manakala Rosmah diwakili Iskandar Shah Ibrahim, Azrul Zulkifli Stork, Asmadi Hussin dan Azamuddin Abdul Aziz.

Kerajaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof, Faten Hadni Khairuddin, Harris Ong, Mohd Shukri dan Gan Sha Chee Keong.

Sementara itu, Bernama melaporkan pihak pendakwaan dalam kes pelucutan harta Najib dan keluarganya, hari ini bersetuju untuk memberikan salinan gambar-gambar barang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama, kepada bekas perdana menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berkata pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan dalam memberi salinan gambar-gambar barang yang dirampas, kecuali wang tunai pelbagai mata wang asing.

Beliau berkata demikian ketika pendengaran kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan peguam Azrul Zulkifli Stork bertindak bagi pihak isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa Mohd Najib, memohon salinan gambar-gambar berkenaan, bagi dirujuk kepada anak guam masing-masing.

Mahkamah menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Julai lepas, Najib, 66, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM, termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.

Dalam notis usul itu, Najib memohon supaya responden (pendakwaan) membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna, berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita pada 17 Mei tahun lepas.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih, yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.

Pada 30 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis, kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan, ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu, bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit, untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian, bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Lihat Komen
ADS