Span dan WSI dibentang tanpa banyak perubahan
Terjemahan Rang undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (Span) 2006 yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dibentangkan untuk bacaan kali pertama di dewan rakyat hari ini.
Terjemahan Rang undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (Span) 2006 yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dibentangkan untuk bacaan kali pertama di dewan rakyat hari ini.
Turut dibentangkan buat kali pertamanya ialah rang undang-undang Industri Perkhidmatan Air (WSI) 2006.
Kedua-dua rang undang-undang yang menimbulkan kontroversi hujung tahun lalu itu kerana dibimbangi akan membawa kepada penswastaan perkhidmatan air bagaimanapun tidak banyak berubah.
Ia dibentangkan oleh Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik. Kedua-dua rang undang-undang ini akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan dijangka diluluskan dalam sidang Parlimen semasa.
Awal tahun lalu kerajaan melakukan pindaan perlembagaan untuk meletakkan pengurusan air dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri. Sebelum itu hal ehwal bekalan air terletak sepenuhnya di bawah kuasa kerajaan negeri.
Kedua-dua rang undang-undang itu bagaimanapun ditangguhkan pembentangannya di Dewan Rakyat kerana mahu mendapatkan maklum balas dari rakyat setelah timbul bantahan kerana dibimbangi ia akan membawa kepada penswastaan perkhidmatan air negara ini.
Bagaimanapun sebahagian besar cadangan yang diterima dari orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak digunapakai dalam rang undang-undang tersebut.
Di bawah cadangan rang undang-undang itu, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi suruhanjaya berkenaan dipisahkan sebagaimana dicadangkan oleh para NGO.
Bagaimanapun suruhanjaya itu hanya bertanggungjawab kepada menteri dan tidak kepada kabinet atau Parlimen.
Fungsi Span termasuklah menasihati menteri dalam semua perkara berkaitan dasar bekalan air dan perkhidmatan pembentungan serta pelaksanaannya.
Ia juga mengawalselia produktiviti perkhidmatan bekalan air dan pembentungan mengikuti piawaian yang ditetapkan.
Sementara itu rang undang-undang WSI mewajibkan semua pemegang lesen memastikan sistem bekalan air yang berkesan dan ekonomikal.
Bagaimanapun pengguna tetap tidak dibenarkan menuntut gantirugi dari pemegang lesen jika air yang dibekalkan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan. Berita asal

