Penternak babi di Kuala Sungai Baru, Melaka akan mematuhi arahan kerajaan negeri termasuk berpindah, dengan syarat mereka dibayar pampasan dan disediakan kawasan ternakan baru.

Seorang penternak, Lim Oh Pah (gambar bawah) berkata, mereka memerlukan pampasan kerana penternak telah membuat pinjaman bank yang jumlahnya jutaan ringgit untuk melabur dalam ternakan babi.

"Masalahnya, kerajaan tidak memberi kata-putus mengenai perkara ini. Kami juga tidak mendapat gambaran yang sebenarnya.

"Jika kerajaan mahu kami berpindah, mengapa mereka meminta penternak membuat pelan pembangunan untuk menaikkan taraf ladang babi di kawasan ini?" soalnya.

Lim berkata, penternak telah menyiapkan pelan pembangunan seperti yang diminta oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Bagaimanapun, beliau sangsi sama ada pelan pembangunan itu akan diluluskan oleh MPAG kerana beliau mendapat tahu, ladang ternakan di kawasan itu, akan dirobohkan.

"Kami membelanjakan kira-kira RM600,000 untuk membuat pelan pembangunan tersebut dan kami tidak tahu apa kesudahannya.

"Kalau pelan itu tidak diluluskan siapakah yang mahu menanggung kos tersebut? Kami juga telah melabur ratusan ribu ringgit untuk projek ini dengan membuat pinjaman bank," katanya ketika ditemui di ladangnya di Paya Mengkuang.

Menurutnya, antara infrastruktur yang telah dibina di ladang Payang Mengkuan termasuklah kolam kumbahan (gambar bawah-kanan), perparitan, kandang (gambar bawah-kiri) dan stor simpanan.

MPAG, katanya memberi tempoh dua minggu kepada penternak supaya menyediakan pelan pembangunan dan diserahkan kepada majlis itu untuk dibuat penilaian.

Tindakan kerajaan

Baru-baru ini Exco Pertanian Melaka, Md Yunus Husin berkata, kerajaan negeri memberi tempoh enam minggu kepada 82 penternak babi Paya Mengkuang supaya meningkatkan kawasan ternakan jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

"Jika gagal, kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan ke atas penternak terbabit termasuk menutupnya kerana melanggar arahan kerajaan negeri," katanya.

Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah pula menurut Lim menghantar surat kepada penternak mengatakan bahawa jika penternak tidak mempunyai pelan, tanah para penternak boleh dirampas.

"Sebenarnya isu ternakan babi di kawasan Paya Mengkuang sudah lama tetapi kerajaan tidak mengambil langkah untuk menyelesaikannya," katanya yang mendakwa beliau adalah generasi keempat keluarganya yang menjadi penternak babi.

Lim mendakwa, bahan buangan dari kandang babi Paya Mengkuang tidak mencemarkan kawasan tadahan air minuman kerana air Sungai Tuang tidak digunakan sebagai sumber air minuman.

Beliau juga berkata, penternak sudah melabur jutaan ringgit untuk mengusaha ladang ternakan babi di kawasan Paya Mengkuang dan kerana itu mereka mahu meneruskan industri tersebut.

Katanya, mereka tidak boleh bertukar kepada ternakan lain kerana pengalaman mereka hanya dalam ternakan babi selain permintaan tinggi di pasaran tempatan.

"Jika kami tidak menternak, negara terpaksa mengimport dari Vietnam dan Thailand untuk memenuhi permintaan rakyat tempatan," katanya.

Bahagian akhir: Reaksi Kolej Islam Melaka dan Jabatan Pengaliran dan Saliran Melaka.