BERITA Malaysiakini

Lim: Royalti minyak sudah dibayar kepada Kelantan bulan lalu

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota parlimen pembangkang yang mendakwa Kelantan belum menerima bayaran royalti minyak perlu membuat semakan dengan kerajaan negeri itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata ini kerana bayaran tersebut telah dibuat bulan lalu.

"Saya telah tandatangani pembayaran atas arahan perdana menteri, dan saya telah semak dengan pejabat saya dan mereka kata pembayaran telah dibuat.

"Sebenarnya pembayaran (dijadual) dibuat pada Januari (2020) tetapi talah diawalkan ke bulan lepas.

"Jadi saya harap jangan beri kenyataan yang tidak benar dan tidak ikut fakta, harap mereka boleh semak dengan kerajaan Kelantan supaya boleh dapat kepastian," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Lim merujuk kepada ucapan ketua pembangkang Ismail Sabri yaakob ketika perbahasan Belanjawan 2020, yang antara lain mendakwa amat sedikit projek berimpak tinggi di negeri yang ditabdir PAS, iaitu Kelantan dan Terengganu.

Justeru beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan persekutuan membayar royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada dua negeri itu.

Ahmad Marzuk Shaary

Ketika itu, Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) mencelah dengan mengatakan Kelantan tidak mendapat royalti minyak walaupun sebanyak lima peratus.

"Saya ingin rujuk cadangan YB, royalti minyak sampai 20 peratus. Masalah Kelantan ini lima peratus yang dijanjikan itu belum diberikan," katanya.

Marzuk kemudian menyamakan perkara itu kepada dakwaan Lim sebelum ini, bahawa kerajaan BN "merompak" bayaran balik GST ketika ia dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan yang digunakan, bukan akaun amanah yang dikhaskan untuk bayaran balik.

"Kalau Petronas bayar setiap tahun kepada kerajaan pusat (tetapi) tak masuk ke akaun negeri, bolehkah kita kata wang royalti Kelantan ini dirompak oleh kerajaan Pakatan Harapan?

"Dan kalau ditanya siapa kepala perompak, adakah kita kata menteri kewangan ketua perompak?" soalnya.

Ismail kemudian berkata beliau setuju dan kenyataan itu "tepat sekali".

Mengulas perkara itu, Lim berkata kerajaan BN sebelum ini tidak membayar royalti lima peratus kepada Kelantan tetapi kerajaan PH telah berbuat demikian.

Namun, katanya lagi, PAS kini mengadakan kerjasama politik dengan BN.

[Baca berita asal]