Malaysiakini BERITA

Ketua pembangkang DUN Kelantan letak jawatan

N Faizal Ghazali

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Md Alwi Che Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Tindakan itu katanya, dibuat selepas perbincangan dengan Majlis Tertinggi Umno susulan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara parti itu dan PAS, sebelum ini.

“Tetapi, ingin saya sampaikan mulai hari ini selepas Muafakat Nasional, sebenarnya Kelantan sudah tidak ada ketua pembangkang kerana saya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang.

"Kami semua (wakil rakyat BN) adalah penyokong kerajaan (Kelantan), yang tinggal hanyalah seorang pembangkang tunggal tegar.

"Beliau (PH-Ayer Lanas) tidak ada jemaah dan menjadi pembangkang tunggal. Terpulang kepada Speaker untuk susun semula kedudukan dalam dewan ini," katanya ketika membahaskan Belanjawan Kelantan 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Kelantan kini hanya mempunyai seorang wakil pembangkang iaitu Mustapa Mohamed (PH-Ayer Lanas) - yang menang atas tiket Umno tetapi menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum lalu.

Terdahulu, cadangan supaya jawatan ketua pembangkang ditiadakan di negeri dikuasai Umno dan PAS dilontarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Menurut beliau, cadangan awal itu supaya dapat menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.