Paling Popular
Terkini

Presiden PAS menganggap Lim Kit Siang sebagai ahli politik yang tidak berpengetahuan apabila mengaitkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) dengan kumpulan pengganas.

Kata Abdul Hadi Awang Kuis ialah pertubuhan yang sah dan bersifat akademik, bukannya berkaitan senjata.

"Dia (Lim) tak tahu, dia tak ada ilmu pengetahuan," katanya kepada media di luar parlimen hari ini.

Semalam Lim yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri mengaitkan pertubuhan Kuis dengan kumpulan pengganas selepas ia disenaraikan sebegitu oleh empat negara Arab iaitu Arab Saudi, Mesir, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrin.

Lim juga secara tidak langsung mengaitkan Abdul Hadi dengan Kuis dengan kata-kata "seorang pemimpin pembangkang Malaysia" pernah menduduki jawatan penting di situ.

Untuk rekod Abdul Hadi pernah dilantik sebagai naib ketua Kuis. Ia pernah diketuai ulama disegani komuniti antarabangsa iaitu Dr Yusuf al-Qaradawi.

Dilahirkan di Mesir, penerima anugerah Maal Hijrah pada 2009 itu memang tidak disenangi sebahagian kerajaan Arab dan kini berpangkalan di Qatar.

Abdul Hadi berkata Kuis mempunyai pejabat di pelbagai negara di seluruh dunia dan tidak terlibat dalam kegiatan keganasan.

Terdahulu semasa membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) meminta penjelasan Abdul Hadi mengenai perbezaan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan Kuis.

Kata Abdul Hadi Kuis ialah sebuah pertubuhan keilmuan dan tidak terlibat dalam kegiatan bersenjata.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) kemudian menyatakan Kuis dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir manakala LTTE tidak begitu sejak 2009.

"YB (cuma) baca surat kabar, YB tak berpijak di lapangan.

"Di lapangan kita boleh menyaksikan bahawa wakil-wakil persatuan ulama ada dari Saudi... saya sendiri boleh pergi umrah tak dihalang," katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut mengapa Kuis masih dilabel pengganas oleh negara Arab terbabit, Abdul Hadi menjelaskan ia berpunca daripada isu diplomatik.

"Sekarang masa dah berubah. Mungkin pendirian empat negara ni pun dah berubah," katanya.

Lihat Komen
ADS