Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPM ambil tindakan penganjur debat Piala Tun Razak
Diterbitkan:  Oct 15, 2019 8:39 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Jabatan Pendidikan Tinggi sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap penganjur debat Piala Tun Razak yang menimbulkan rasa tidak puas hati apabila dianggap menyentuh sensitiviti Islam.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Seni, berkata penganjur acara itu yang dikenal pasti ialah dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dikenali sebagai Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal.

Katanya siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati, ketua juri sebagai pemilih usul perdebatan tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan daripada Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) berkenaan tajuk debat tersebut.

SDAR ialah lokasi program perdebatan itu berlangsung.

"SDAR turut memaklumkan bahawa panduan prosidur operasi standard (SOP) perdebatan telah diperjelaskan kepada ketua juri supaya tajuk debat yang dipilih tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan budaya setempat sehingga boleh menggugat keselamatan negara," katanya.

Beberapa pihak hari ini menyuarakan bantahan mereka terhadap pertandingan debat tersebut, malah difahamkan ada peserta yang menarik diri sebagai protes atas tajuk yang dipilih.

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) pula mendakwa antara tajuk yang dipilih ialah kewajaran al-Quran untuk ditulis semula, serta perbahasan mengenai amalan homoseksual.

Justeru Ikram menggesa agar pihak yang berkenaan menyiasat serta mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab mengendalikan program tersebut.

Amin berkata Kementerian Pendidikan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan - sama ada disengajakan atau tidak - sehingga boleh mengganggu keharmonian antara kaum dan agama.

Lihat Komen
ADS