Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Arah wanita Islam tanggal tudung: Presiden Perancis digesa ambil tindakan
Diterbitkan:  Oct 16, 2019 10:32 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

GLOBAL | Berpuluh-puluh ahli akademik, artis, pengarah filem, aktor dan wartawan pada Selasa menggesa Presiden Perancis Emmanuel Macron agar mengutuk tindakan seorang penggubal undang-undang pelampau kanan yang telah menyerang seorang wanita Islam secara lisan, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menurut surat terbuka yang disiarkan dalam akhbar harian Le Monde, 90 orang - termasuk aktor Omar Sy dan wartawan Alain Gresh - menggesa Macron agar mengutuk Julien Odoul, yang mengarahkan seorang wanita Islam menanggalkan tudungnya pada satu mesyuarat majlis serantau baru-baru ini.

Sambil menegaskan bahawa perbuatan menghina orang lain dan mengamalkan sikap perkauman disebabkan agama mereka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, surat itu menggesa presiden tersebut mengambil tindakan terhadap tingkah laku kontroversi penggubal undang-undang terbabit.

Di samping itu, ia berkata puak pelampau kanan di Perancis telah menjadikan kebencian mereka terhadap umat Islam sebagai suatu alat propaganda dan menekankan bahawa kedua-dua pihak kanan dan kiri di negara itu tidak menghalang tindakan diskriminasi terhadap wanita Islam atas alasan sekularisme.

Menurut surat itu, kenyataan lampau Menteri Pendidikan Jean-Michel Blanquer berhubung pemakaian tudung membuktikan terdapat diskriminasi oleh tokoh-tokoh negara di peringkat atasan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS