Pengagihan kekayaan, pembasmian kemiskinan perlu perhatian rapi - PM
Malaysia melakar pencapaian memberangsangkan dalam usaha untuk membasmi kemiskinan, bagaimanapun masalah berkaitan kemiskinan masih wujud dan memerlukan perhatian dasar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata Malaysia tidak lagi hanya bergelut dengan kemiskinan mutlak, sebaliknya turut berdepan kemiskinan relatif, kelompok kemiskinan berterusan dan kemiskinan bandar selain ketidaksetaraan yang semakin meningkat.
"Sungguhpun kemiskinan luar bandar masih terus kritikal, kemiskinan bandar pula memerlukan perhatian dan preskripsi dasar. Kelompok kemiskinan berterusan menjadi penghalang kepada penyelesaian dasar di Malaysia," katanya ketika berucap pada Forum Pembasmian Kemiskinan: Pembangunan Inklusif dan Sejahtera Dalam Malaysia Baharu, bersempena Hari Antarabangsa Yayasan Sejahtera 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana menteri berkata perhatian rapi perlu diberi terhadap pengagihan pendapatan dan kekayaan, kerana kemajuan ke arah mengurangkan kemiskinan akan terbantut melainkan penambahbaikan dalam pengagihan pendapatan dan kekayaan wujud seiring dengan pengurangan kemiskinan.
"Pengalaman mengajar kami bahawa pertumbuhan ekonomi itu sendiri tidak berpadanan dengan pembangunan bagi semua. Purata menyembunyikan banyak ketidaksetaraan.
"Sesebuah negara tidak boleh dianggapkan sebagai negara maju sekiranya terdapat segmen tertentu dalam kalangan penduduknya tidak mendapat akses kepada kemudahan asas, tidak mempunyai pekerjaan yang memberi mereka pendapatan secukupnya, tiada pekerjaan atau memperoleh hanya sedikit akses kepada aset yang produktif," katanya.
Beliau berkata sesebuah negara itu juga tidak dianggap maju jika sebahagian daripada penduduknya perlu berhempas pulas setiap hari untuk mencari nafkah dan hidup berjimat-cermat manakala anak mereka pula berdepan masalah kekurangan makanan berzat.

Dr Mahathir berkata atas sebab inilah kerajaan melancarkan model ekonomi Malaysia baharu -- Wawasan Kemakmuran Bersama -- yang akan membolehkan semua rakyat Malaysia untuk terus menikmati pertumbuhan yang saksama dan lestari di semua peringkat tanpa mengira kaum, tingkat sosial atau lokasi.
Beliau berkata matlamat wawasan itu adalah untuk merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kaum dan wilayah geografi; untuk mewujudkan sebuah ekonomi progresif dan muncul sebagai sebuah negara terulung di rantau ini.
Tonggak utama model ini adalah berdasarkan kepada mempertingkatkan ekosistem perniagaan dan industri; mengenal pasti sektor pertumbuhan baharu; penambahbaikan dalam modal insan, pasaran buruh dan upah, jelas beliau.
“Wawasan Kemakmuran Bersama perlu untuk memastikan pembangunan masa depan Malaysia mengurangkan perbezaan antara kaya dan miskin; memperkukuhkan kesejahteraan sosial serta modal sosial dan pada masa sama, memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah. Ini akan memastikan pembangunan inklusif dan memenuhi matlamat untuk tidak meminggirkan sesiapa," kata perdana menteri.
- Bernama

