Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai akan dimuktamadkan seminggu lagi, kata Muhyiddin Yassin.

Menurut pengerusi PH Johor itu, nama calon yang akan bertanding tersebut akan diumumkan sendiri olehnya nanti.

“(Calon) akan dimuktamadkan mungkin dalam masa seminggu yang akan datang, sebelum hari penamaan calon.

“Kita akan (buat) program untuk memperkenalkan calon PH di situ, dan saya, pengerusi PH dan pengarah pilihan raya, akan umumkan nanti.

“Insya-Allah, kita akan dapatkan tokoh dan calon terbaik dan sesuai untuk Tanjung Piai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara di bangunan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya hari ini.

Ini susulan kenyataannya pada 4 Oktober lalu bahawa PH sudah mempunyai nama calon untuk PKR tersebut, namun ia belum diputuskan.

Kenyatannya itu mungkin menjadikan tarikh pengumuman calon PH jatuh pada tarikh yang lebih awal daripada pengumuman calon BN - yang dijangka diumumkan 26 atau 27 Oktober depan.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada 21 September lalu.

SPR menetapkan PRK Tanjung Piai pada 16 November depan, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November dan tarikh mengundi awal pada 12 November.

Di pihak PH, Bersatu dikatakan akan terus bertanding di situ, manakala di pihak BN lebih mengundang teka-teki ekoran bayangan Presiden Umno yang memberi bayangan parti itu bakal bertanding, sedangkan kerusi itu merupakan kerusi tradisi MCA.

Selain PH dan BN, Gerakan juga dikatakan berminat untuk bertanding di Tanjung Piai.

Lihat Komen
ADS