Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pinda laporan 1MDB: Pendakwaan serah pernyataan saksi ke pembelaan
Diterbitkan:  Oct 16, 2019 4:06 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Pihak pendakwaan hari ini menyerahkan lapan penyataan saksi kepada pasukan peguam dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan di Kuala Lumpur, hari ini.

“Kesemua dokumen akan lengkap dua minggu sebelum perbicaraan bermula dan pendakwaan akan menyerahkan lagi penyataan saksi yang lain semasa pengurusan kes akan datang,” katanya dan menambah pendakwaan juga akan melengkapkan 30 hingga 40 penyataan saksi untuk diserahkan kepada pembelaan.

Peguam Rahmat Hazlan mewakili Najib, 66, dan Jasmine Cheong bertindak bagi pihak Arul Kanda, 43, masing-masing mengesahkan telah menerima penyataan saksi itu.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 7 Nov dan 13 Nov.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 18 Nov hingga 29 Nov 2019 dan 13 Jan hingga 17 Jan 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 4 Jan 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan tersebut, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS