Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib canselor UM dapat sokongan kakitangan
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 11:59 PM
Dikemaskini: 3:59 PM

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Rahim Hashim, hari ini menerima memorandum sokongan daripada Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM) dan Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas Universiti Malaya (Pekerti).

Nota tersebut diserahkan sebagai tanda mereka berada di belakang Abdul Rahim yang kini menjadi perhatian ekoran tindakan seorang penuntut UM membuat protes di pentas konvokesyen universiti itu baru-baru ini.

Presiden KKAUM, Mazmir Mohd Amin, berkata mereka memberi dukungan penuh kepada Abdul Rahim sebagai naib canselor serta pihak pentadbiran UM.

“Kami turut bersetuju dan menyokong sekiranya pihak pengurusan mengambil sebarang tindakan terhadap graduan terbabit memandangkan beliau sudah mencemarkan nama dan maruah UM.

“Kelakuan tidak beradab yang ditunjukkan dalam istiadat rasmi itu tidak sewajarnya berlaku sama sekali,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Penyerahan memorandum itu diadakan di Menara Canseleri UM di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut, usaha pihak media mendapatkan komen daripada Abdul Rahim gagal apabila dihalang pegawai UM.

Untuk rekod, Abdul Rahim bertindak sebagai ketua eksekutif Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lalu.

Ketika ia dihadiri ramai pemimpin politik Melayu, sesetengah pihak berasa kurang senang kerana menganggap ia bersifat perkauman.

Selepas menerima skrol ijazahnya di konvokesyen UM, Wong Yan Ke, menunjukkan plakad yang dibawa selain menjeritkan desakan agar Abdul Rahim meletak jawatan kerana didakwanya bersikap rasis.

Sementara itu Presiden Pekerti, Nor Aishah Samah, juga bersependapat dengan KKAUM bahawa tindakan Wong itu tidak beradab.

Katanya Pekerti menyokong hak seseorang untuk bersuara termasuk dalam kalangan pelajar namun ia mestilah dibuat secara diplomasi serta melalui saluran sepatutnya.

“Kami tidak bersetuju dengan desakan kumpulan tertentu supaya naib canselor meletakkan jawatan. Justeru, kami teguh bersama-sama naib canselor dan pengurusan UM dalam perkara ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS