Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengambil langkah untuk menangani pendedahan maklumat perbankan di laman web subsidi petrolnya.

Menurut siaran akhbar KPDNHEP, pihak kementerian tersebut telah meningkatkan sistem dan keselamatan data laman web sebelum mengaktifkannya semula untuk diakses orang ramai.

“Merujuk kepada isu teknikal yang dibangkitkan terhadap portal rasmi Program Subsidi Petrol, kementerian telah mengambil tindakan segera untuk menangani isu itu.

“Pihak kementerian memandang serius akan aspek integriti dan keselamatan data peribadi penerima PSP dan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi melindungi data-data tersebut.

“Pada jam 1.00 petang hari ini 17 Oktober, 2019, isu teknikal itu telah diatasi dan Portal PSP telah diaktifkan semula dengan aspek keselamatan sistem dan data telah dipertingkatkan,” menurut kenyataan tersebut.

KPDNHEP mengulas mengenai isu nombor akaun bank penerima PSP yang terdedah di laman web.

Perkara itu pada mulanya didedahkan oleh sebuat laman web berkaitan teknologi semalam, yang menunjukkan kelemahan laman web itu kerana membolehkan pengguna melihat nombor akaun bank penuh setiap penerima lain pada kod sumber di halaman carian laman web tersebut.

Sungguhpun begitu, nombor akaun tersebut sebahagiannya ditutup pada borang yang dipaparkan di laman web itu bagi mempamerkan kelayakan seseorang untuk subsidi tersebut.

"Kami terus menguji sekurang-kurangnya lima nombor MyKad secara rawak dan dapat mengesahkan kami memperoleh nombor akaun penuh penerima yang layak dengan cara yang sama seperti yang ditunjukkan di atas," kata portal teknologi itu dalam artikelnya semalam.