Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri tak setuju caj pemandu e-hailing di lapangan terbang

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak sepatutnya mengenakan caj terhadap pemandu e-hailing yang mendapatkan penumpang di KLIA dan KLIA2, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Saya tidak bersetuju dengan caj RM5 dan saya telah mengarahkan pegawai saya untuk menghubungi MAHB untuk menyelesaikan perkara itu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis hartanah di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai keluhan pemandu e-hailing yang menentang peraturan baru yang mengawal kawasan mengambil penumpang di KLIA dan KLIA2.

Di bawah peraturan baru yang berkuat kuasa pada 12 Okt, kenderaan e-hailing tidak boleh menunggu di lorong mengambil penumpang lapangan terbang lebih daripada lima minit.

Loke, bagaimanapun mempertahankan peraturan menunggu lima minit oleh MAHB, dengan mengatakan bahawa pemandu e-hailing perlu mengambil kira kepentingan orang ramai kerana kenderaan e-hailing di kawasan itu boleh menyebabkan kesesakan di kawasan lapangan terbang.

"Malah pemandu e-hailing sebenarnya tidak boleh menunggu (di lorong mengambil penumpang). Saya rasa menunggu lima minit itu mencukupi," katanya.

Tambah Loke, pemandu e-hailing tidak boleh membandingkan diri mereka dengan pemandu Limousine yang membayar sewa untuk menunggu di lorong mengambil penumpang, katanya.

Pada 11 Okt, MAHB mengumumkan kawasan mengambil penumpang yang baru yang ditetapkan untuk pemandu e-hailing di KLIA dan KLIA2, yang berkuat kuasa pada keesokan harinya.

Pemandu dikehendaki mempunyai nilai minimum RM20 atau kad pay-wave untuk mengakses giliran pengambilan penumpang baru.

Pemandu e-hailing perlu membayar caj RM10 untuk menunggu lima minit pertama dan tambahan RM10 sebagai hukuman untuk terus menunggu selama lima minit lagi.

The Star melaporkan bahawa bayaran RM5 akan dikenakan kepada pemandu e-hailing yang mengambil penumpang di KLIA 2, bermula bulan depan.

Caj RM5 itu akan dikutip oleh syarikat yang dilantik sebagai "pengurus giliran" lapangan terbang.

The Star juga memetik Presiden Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia, Daryl Chong yang membantah peraturan baru itu, dengan mengatakan lima minit tidak cukup kerana beberapa penumpang mengambil masa sehingga 20 minit untuk keluar.

Pada sidang akhbar hari ini, Loke berkata pemandu boleh kembali untuk mengambil semula penumpang jika penumpang mengambil masa lebih daripada lima minit untuk keluar.

Tambah Loke, orang ramai akan mengeluh tentang kesesakan di lapangan terbang jika pemandu e-hailing menunggu di lorong mengambil penumpang untuk terlalu lama.

Peraturan lima minit menunggu tidak hanya dikenakan kepada pemandu e-hailing, tetapi juga pemandu kereta persendirian yang menunggu di lorong pengambilan, kata Loke.

Lihat Komen
ADS