Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan dakwaan yang mengatakan dia telah menyertai PKR.

Syed Abu Hussin memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak pernah memohon untuk menyertai parti itu dan menegaskan dia masih seorang ahli parlimen bebas.

"Tanya dia (PKR) bila saya buat permohonan. Tak betul. Saya tidak pernah membuat permohonan. Akan kekal sebagai (ahli parlimen) bebas," katanya.

Terdahulu, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengeluarkan kenyataan media mengalu-alukan kemasukan Syed Abu Hussin ke dalam parti itu.

Farhash berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah menerima permohonan Syed Abu Hussin sebagai ahli PKR.

"Dengan pengalaman yang dimiliki beliau (Syed Abu Hussin), saya yakin ini dapat membantu kerajaan Pakatan Harapan dan memanfaatkan Majlis Pimpinan Negeri Perak pada masa yang sama. 

"PKR kini memiliki 51 ahli parlimen dan semoga saf parti dirapatkan dalam menjulang presiden kita sebagai bakal perdana menteri kelapan di masa hadapan," kata Farhash.

Syed Abu Hussin adalah antara ahli parlimen yang paling awal meninggalkan Umno selepas pilihan raya umum pada Mei tahun lalu.

Secara keseluruhannya, Umno telah kehilangan 17 Ahli Parlimen sepanjang tahun lalu.

Pada masa ini, hanya ada seorang ahli parlimen yang bebas iaitu Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.

Pada 2010, Syed Abu Hussin pernah dibidas oleh Presiden PKR semasa Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Anwar ketika itu menuduh Syed Abu Hussin mendapat kontrak katering untuk tentera bernilai RM600 juta tanpa melalui tender.

Lihat Komen
ADS