Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian pesakit Zika mungkin akibat virus tempatan

Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kes kematian seorang lelaki di Manjung akibat Zika berpunca daripada jangkitan virus tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata siasatan dan tindakan susulan sedang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

"Besar kemungkinan penyakit Zika (jangkitan) itu adalah asal dari tempatan berdasarkan siasatan. Penyiasatan selanjutnya sedang dijalankan.

"Untuk makluman, kes Zika pernah dilaporkan pada tahun 60-an di Bentong, Pahang," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di Ipoh hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas mengenai kematian seorang lelaki berumur 30 tahun akibat virus Zika awal pagi ini dan kes jangkitan itu adalah yang kesembilan dalam negara sejak 2016.

Mangsa yang disahkan positif jangkitan virus Zika berdasarkan ujian pengesahan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 13 Okt lalu meninggal dunia di Hospital Manjung kira-kira 4.45 pagi tadi.

Virus Zika disebarkan menerusi nyamuk Aedes iaitu nyamuk sama yang menyebabkan penyakit demam denggi dan chikungunya.

- Bernama 

Lihat Komen
ADS