Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Sejumlah 278 mangsa membabitkan 81 keluarga ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di Perak iaitu Hilir Perak, Larut Matang dan Selama serta Batang Padang, setakat tengah hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan mangsa banjir setakat 12 tengah hari berbanding 194 mangsa daripada 58 keluarga pagi tadi.

Katanya, terdapat sebuah PPS baru dibuka di Dewan Orang Ramai (DOR) Surau Kampung Jawa Trong di daerah Larut Matang Selama yang menempatkan 17 penduduk daripada enam keluarga.

Beliau berkata daerah Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 180 orang daripada 48 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan.

“Ia melibatkan mangsa dari Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Lorong Sidang Osman dan Batu 8,” katanya.

Menurutnya, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS DOR Kampung Sungai Klah Baru di daerah Batang Padang kekal seramai 81 penduduk membabitkan 27 keluarga dari Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai.

“Selain itu, seramai 21 mangsa daripada lapan keluarga di Kampung Malau Baru, Lenggong yang ditempatkan di PPS DOR Kampung Malau sebelum ini telah dibenarkan pulang selepas PPS itu ditutup sepenuhnya pada 10.30 pagi tadi,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS