Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Tg Piai: PH dijangka letak tokoh berpengalaman - Muhyiddin
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Pakatan Harapan (PH) dijangka mengetengahkan calon berpengalaman dan mempunyai ketokohan sebagai calon untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.

Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin berkata walau pun calon muda berumur 18 tahun dibenarkan bertanding seperti diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun, PH lebih mengambil kira calon yang boleh menjalankan tugas dan bertanggungjawab untuk menjadi wakil rakyat.

“Setakat hari ini belum ada lagi (calon muda). Tiada pihak yang datang (calon muda) kata saya nak jadi calon, walau pun dia boleh (bertanding), itu yang SPR kata, tetapi di peringkat kita, kita meneliti kadang-kadang walaupun baik orang muda tetapi orang nak cari yang berpengalaman, ketokohan, ada latar belakang yang baik, menunjukkan tokoh yang ada pengetahuan.

“Saya sudah melalui proses pilihanraya berkali-kali, kita ambil kira mereka ini (calon bertanding) adalah orang yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Bersama Pemimpin, di Pontian hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengarah Pilihan Raya PH berkata senarai pendek nama calon yang bakal bertanding PRK itu hampir dimuktamadkan dan pengumumannya dibuat sebelum akhir bulan ini.

Mengenai persiapan PRK itu, beliau yang berada di kawasan Tanjung Piai sejak semalam, berpuas hati dengan gerak kerja menghadapi pilihan raya berkenaan dan yakin rakyat memberikan sokongan kepada PH berdasarkan kajian sikap pengundi yang dilakukan.

“Pagi tadi ada sesi bersama Ketua-Ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi). Nampak mereka sudah cukup bersedia dan yakin kita mampu pertahankan kerusi ini.

“Laporan saya terima termasuk kajian sikap pengundi di Tanjung Piai. Dalam lawatan petang semalam dan pagi ini, saya rasa sentimen yang boleh dikatakan agak baik walaupun mereka (pengundi) hadapi masalah ekonomi, kos sara hidup, tetapi keyakinan mereka kepada PH ada,” katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS