Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Unicef sambut baik usaha perkukuh ketersediaan data kanak-kanak

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mengiktiraf kemajuan ketara yang dicapai Malaysia dalam mengukuhkan ketersediaan data berkualiti tinggi berkenaan kanak-kanak.

Wakil Unicef di Malaysia Marianne Clark-Hattingh dalam kenyataan hari ini berkata kandungan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) untuk mengkaji semula garis kemiskinan jelas membuktikan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan sistem statistik kebangsaan.

"Namun begitu, ini juga patut menjadi peringatan bahawa sistem-sistem ini perlu melalui pembaharuan yang kerap untuk memastikan ia bergerak balas terhadap konteks sosioekonomi Malaysia yang berubah dan komitmen antarabangsa baru muncul seperti Matlamat Pembangunan Mampan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Statistik Kebangsaan.

WKB2030 dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada awal bulan ini merupakan kerangka hala tuju negara bagi tempoh tahun 2021 sehingga 2030 dengan antara matlamatnya merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Beberapa kumpulan termasuk kanak-kanak akan diberikan keutamaan supaya kedudukan sosioekonomi mereka dapat dibaikpulih agar mereka tidak ketinggalan.

Clark-Hattingh turut mencadangkan Malaysia mengambil langkah seterusnya untuk menangani jurang data yang berulang-ulang termasuk mengukuhkan rangka kerja tinjauan kebangsaan dan sistem pengurusan data pentadbiran untuk memastikan pembekalan data berkenaan kesejahteraan kanak-kanak dilakukan secara tepat dan terpisah serta kena pada waktunya.

"Penggunaan data yang berkesan boleh membantu kita bukan sahaja untuk memantau hasil untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk membuat keputusan dengan wawasan yang lebih baik berkenaan apa yang berhasil, apa yang tidak, kanak-kanak manakah yang berkembang dengan baik dan mana yang tertinggal," katanya.

Unicef membantu mengumpul dan menganalisis data pelbagai negara seluruh dunia antaranya bertujuan mengisi jurang data untuk memantau situasi kanak-kanak dan wanita.

- Bernama

Lihat Komen
ADS