Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Niaga lancar walau sepekulasi India sekat import sawit - MPOA

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yakin hubungan perdagangan kukuh antara Malaysia dan India akan memastikan perniagaan antara kedua-dua negara itu berjalan seperti biasa walaupun terdapat spekulasi mengenai hasrat New Delhi menyekat beberapa produk Malaysia, termasuk minyak sawit.

Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nageeb Wahab, India juga tidak terkecuali akan merasai impaknya sekiranya memlilih untuk melaksanakan tindakan drastik tersebut.

“Jika ini menjadi kenyataan, India perlu mencari sumber minyak sawit untuk makanan dari Indonesia dan perlu menerima apa juga harga yang ditetapkan oleh Jakarta. Ya...ia mungkin pada harga lebih murah sekarang namun keadaan sebaliknya jika Indonesia menjadi satu-satunya sumber untuk India. Mereka boleh menaikkan harga dan inilah implikasi yang perlu India teliti secara serius.

“Sebagai contoh, apabila membuka kedai baru, anda pasti menjual barangan pada harga lebih rendah demi menarik pelanggan. Namun, apabila ini (jualan) dapat dicapai, harga akan dinaikkan kerana anda tahu mereka akan terus membeli daripada anda,” katanya kepada Bernama.

Atas dasar itu, Nageeb optimis keadaan akan kembali normal dan Malaysia dapat terus menjalinkan hubungan dagangan yang baik dengan India.

Menurut sumber, eksport Malaysia ke India bernilai AS$10.8 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac lepas manakala import mencecah AS$6.4 billon.

Negara Asia Selatan itu juga merupakan pembeli minyak sawit terbesar Malaysia sejak 2014 (menggantikan China) dan bagi sembilan bulan pertama 2019, ia mewakili 28 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit.

Keadaan itu berkait rapat dengan duti import keutamaan minyak sawit Malaysia (untuk sembilan bulan pertama) yang menyaksikan kenaikan ketara bahagian pasaran India daripada 28.7 peratus kepada 57.8 peratus.

Selain itu, Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata Malaysia sedang meninjau kemungkinan mendapatkan sumber bekalan gula mentah dari India mulai tahun depan bagi meningkatkan perdagangan dua hala dengan negara itu.

Malaysia juga menimbang untuk mengimport lebih banyak daging kerbau dari India bagi memenuhi permintaan tempatan yang kian bertambah.

Mengulas mengenai hasrat kementerian makanan India meningkatkan GST bersepadu (IGST) terhadap minyak sawit import kepada 12 peratus mulai Januari tahun depan, Nageeb berkata itu mungkin disebabkan kerajaan negara itu berdepan tekanan daripada pihak penapis tempatan.

“IGST itu mungkin (dilaksanakan)...pada masa ini, orang ramai lebih memilih untuk membeli minyak bertapis dan akibatnya pihak penapis itu tidak mencatat banyak perniagaan dan ini akan menjejaskan pasaran kita.

“Pada akhirnya, harga minyak sawit akan ditentukan oleh faktor bekalan dan permintaan dan jika itu dilaksanakan, sudah pasti ini akan menjejaskan harga serta pihak pekebun kecil.

“Namun, pada masa sama, minyak sawit itu banyak kegunaannya dan ini memberi alternatif untuk kita,” katanya.

Malah, kata Nageeb, beliau turut melihat beberapa petunjuk positif mengenai aliran peningkatan harga minyak sawit berikutan paras simpanan rendah membabitkan dua pengeluar utama dunia - Malaysia dan Indonesia.

“Faktor seperti penggunaan baja yang kurang di ladang serta masalah jerebu telah menjejaskan pengeluaran walaupun permintaan sebaliknya terus ketara.

“Oleh itu, berdasarkan situasi sekarang, saya percaya harga akan stabil sekitar RM2,300 hingga RM2,500 satu tan pada tahun depan yang memadai untuk pekebun kecil," katanya.

MPOA secara amnya berperanan bagi menseimbangkan keperluan dan kepentingan pelbagai sektor untuk sinergi dan pembangunan industri perladangan secara keseluruhannya serta kepentingan tanaman lain seperti getah, koko dan teh serta isu bukan ladang berkaitan tenaga kerja, perdagangan dan penetapan harga.

- Bernama

Lihat Komen
ADS