Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
160 penjaja hidang 32,000 pinggan nasi goreng percuma di Jakarta
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 5:22 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

GLOBAL | Kira-kira 32,000 pinggan nasi goreng akan diedarkan secara percuma kepada orang ramai sempena pelantikan Joko Widodo sebagai presiden Indonesia, dan Ma'ruf Amin sebagai timbalannya, sebentar tadi.

Bertempat di Jalan Medan Merdeka Barat yang menuju ke Istana Presiden di Jakarta, sebanyak 160 gerai dibuka untuk tujuan tersebut. Penjaja pula sibuk memanggil orang ramai yang ada di kawasan tersebut untuk menikmati hidangan berkenaan.

“Percuma... ini makanan percuma,” kata salah seorang peniaga yang hanya dipetik CNN Indonesia sebagai Sofi tengah hari tadi.

Mereka dilaporkan mula menyusun gerai-gerai bergerak itu seawal jam 8 pagi tadi.

Sofi - merupakan salah seorang anggota jawatankuasa penyelaras kempen berkenaan - berkata inisiatif nasi goreng percuma itu dengan pembabitan kira-kira 35,000 sukarelawan dari 458 pertubuhan kemasyarakatan.

Kos projek tersebut, katanya, dibiayai oleh mereka sendiri.

Joko Widodo, 58, akan mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua hari ini. Ma'ruf pula akan mengangkat sumpah untuk kali pertama.

Lepas makan cap tangan

Joko Widodo mengangkat sumpah sebagai presiden untuk kali pertama pada 19 Okt 2014.

Tokoh politik dari Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) itu lebih mesra dikenali sebagai Jokowi.

Perlembagaan Indonesia mengehadkan tempoh jawatan presiden dan timbalan hanya selama dua penggal. Hal itu menyebabkan timbalan presiden sekarang, Jusuf Kalla, tidak layak bertanding dalam pilihan raya lalu.

Untuk rekod, Ma'ruf, 76, ialah ketua Majlis Ulama Indonesia.

Gandingan Joko Widodo - Ma'ruf memenangi pemilihan presiden yang diadakan pada 17 Apr lalu dengan mengetepikan - sekali lagi - bekas ketua Angkatan Tentera Indonesia, Prabowo Subianto, yang berpasangan dengan bekas timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, adalah antara puluhan pemimpin negara yang mengesahkan kehadiran di majlis angkat sumpah berkenaan.

Sofi berkata, untuk mengawal pengedaran nasi goreng percuma itu, sesiapa yang sudah mengambil hidangan tersebut, tangan mereka akan ditandakan.

“Ini untuk orang awam, kalau sudah makan nanti tangannya dicap," katanya.

Sementara itu Polis Metro Jaya berkata, hidangan tersebut dipantau dari segi kebersihan dan hanya penjaja yang diluluskan boleh menyediakannya.

Sumber lain pula menyatakan, setiap pinggan nasi goreng itu dianggarkan berharga Rp14,000 (RM4.15) dan setiap gerai menyiapkan sehingga 200 hidangan.

Dengan anggaran itu, kos yang dibelanjakan untuk 'jamuan istimewa' tersebut ialah kira-kira Rp448 juta (RM1,328).

Lihat Komen
ADS