Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan dibunuh dengan kejam di Limbang
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 6:33 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Seorang ahli perniagaan tempatan maut dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki warga Indonesia di pekan Tedungan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sempadan Tedungan (Limbang) dan Kuala Lurah (Brunei) awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Limbang Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa Ting Kok Khoi, 62, mati ditikam berkali-kali di badan bahagian depan dan belakang oleh suspek berusia 36 tahun, dipercayai menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian pukul 7 pagi.

"Ketika kejadian berlaku suspek langsung tiada wang, terjumpa mangsa di tempat kejadian dan meminta wang dari mangsa untuk tambang ke bandar Limbang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa terus menengking suspek kerana meminta duit dan ini menyebabkan suspek marah lalu mengeluarkan pisau serta terus menikam mangsa bertubi-tubi.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan oleh seorang anggota polis dengan bantuan dua orang awam ketika suspek cuba melarikan diri selepas menikam mangsa.

“Suspek ketika ditahan dalam keadaan berlumuran darah serta terdapat kesan luka pada jari di kedua-dua belah tangan dan peha sebelah kanan,” katanya sambil menambah turut dirampas dari suspek sebilah pisau dan pasport Indonesia milik suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek sebelum ini pernah bekerja di sebuah restoran di Brunei telah memasuki bandar Limbang semalam (19 Oktober) dengan tujuan mencari kerja serta mengumpul duit untuk balik ke Pontianak, Indonesia.

"Suspek datang seorang diri kerana isteri serta anak berada di Filipina dan pisau yang digunakan oleh suspek diambil dari tempatnya bekerja di Brunei," katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, mangsa selalu menghantar barang seperti ayam dan plastik untuk dijual kepada penjual di kedai sekitar pekan Tedungan .

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek esok untuk membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS