Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak, bersambung untuk sehari lagi mulai pagi ini.

Kes membabitkan tuduhan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB itu berlangsung di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Pasukan pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, manakala Najib dibela sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Sesi hari ini bermula dengan pihak pembelaan menyambung soal balas mereka terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

LANGSUNG

11.36 pagi: Sekali lagi perbicaraan ditangguhkan lebih awal dari biasa.

Hari ini hakim Sequerah membenarkan prosiding ditamatkan tengah hari bagi membolehkan Shafee berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan matanya di Hospital Colombia.

Permohonan menangguhkan perbicaraan lebih awal dikemukakan sendiri oleh Shafee. Gopal bagi pihak pendakwaan pula tidak membantah.

Shafee: Saya perlu hadir di Hospital Colombia untuk (pemeriksaan) pembedahan mata. Ada prosedur yang perlu saya buat. Mata saya tak dapat (digunakan) untuk beberapa jam. Justeru saya memohon perbicaraan ditetapkan pada 9.30 pagi Khamis.


10.38 pagi: Saksi pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata dia menganggap pengarah eksekutif pembangunan perniagaan dana kekayaan negara, Casey Tang, akan memastikan perjanjian pinjaman - bernilai AS$700 juta - ditandatangani 1MDB-Petro Saudi Ltd pada 25 Sept 2009 berada dalam keadaan sepatutnya.

Dia berkata demikian semasa disoal balas Shafee.

Shafee: Usaha sama itu tiba-tiba menyebabkan hutang (AS$700 juta), mengapa kamu tidak bertanya (mengenainya)?

Shahrol: Kerana keseluruhan urusan ini diuruskan oleh Casey (Tang), saya membuat kesimpulan dia - dengan pengalamannya yang luas - akan memastikan semuanya mengikut peraturan.

Shahrol juga bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa dia sebenarnya tidak pernah melihat sendiri perjanjian pinjaman tersebut sepanjang tempoh berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif 1MDB.


10.26 pagi: Anggota Lembaga Pengarah 1MDB tidak pernah tahu mengenai perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PetroSaudi pada 25 Sept 2009 dibuat sebelum perjanjian usaha sama sebenar di antara kedua-dua syarikat itu dibuat.

Shafee: Kalau perjanjian pinjaman ini dikemukakan kepada lembaga (sebelum itu) adakah mereka akan bersetuju dengan terma-termanya?

Shahrol: Saya bersetuju dengan itu.


10.15 pagi: Mahkamah diberitahu usaha sama di antara PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dengan 1MDB menyebabkan bebanan hutang sebanyak AS$700 juta.

Kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hutang itu terjadi apabila syarikat hasil usaha sama tersebut, 1MDB-PetroSaudi Ltd, masih dimiliki sepenuhnya oleh PetroSaudi.

Untuk rekod, beban hutang itu terjadi melalui perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PetroSaudi Ltd pada 25 Sept 2009. Berdasarkan tarikh itu, ia dibuat ketika 1MDB belum memeterai perjanjian bagi mengabsahkan usaha sama tersebut.

Kata Shahrol, perjanjian pinjaman AS$700 juta itu dibuat di antara 1MDB-PetroSaudi Ltd - sebagai peminjam - dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd sebagai pemiutang.

Berdasarkan dokumen diserahkan kepada mahkamah, kedua-dua perjanjian berkenaan ditandatangani oleh orang yang sama, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid. 


9.56 pagi: Najib memasuki mahkamah.

Sepatutnya perbicaraan hari ini akan menyaksikan Shafee menyambung soalan balas terhadap saksi kesembilan pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol ialah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB.


9.37 pagi: Gopal dan Shafee memasuki ruang mahkamah dan bersedia untuk memulakan prosiding.

Bagaimanapun kira-kira 10 minit kemudian mereka keluar seketika.

Lihat Komen
ADS