BERITA Malaysiakini

MP Pasir Gudang minta bebaskan tahanan Sosma

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, meminta polis membebaskan semua individu yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Katanya, desakan itu dibuat termasuklah terhadap mereka yang ditahan kerana dikatakan terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Islamic State (IS) dan lain-lain.

“Kenapa? Jawabnya kerana Sosma itu satu undang-undang zalim yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan BN yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Hassan, Sosma dianggap zalim kerana akta itu membenarkan seseorang ditahan selama 28 hari tanpa sebarang perintah dari majistret dan ia bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Hassan, jika seseorang itu dituduh di mahkamah mengikut Sosma, dia tetap dinafikan hak untuk dijamin, malah perkara itu juga berterusan sekiranya pendakwa raya membuat rayuan ke mahkamah rayuan, biarpun tertuduh telah dibebaskan sebelum itu.

Katanya lagi, prosedur perbicaraan bawah Sosma juga “terlalu banyak bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang bersabit dalam soal saksi dan keterangan”.

“Orang yang dituduh tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana miscarriage of justice (ketidakadilan) berlaku.

“Justeru, saya sekali lagi memohon supaya semua tahanan Sosma dibebaskan atau mereka dituduh dan dibicarakan mengikut Kanun Keseksaan yang lebih adil,” katanya.

Kerajaan kini dalam kajian untuk meminda beberapa peruntukan dalam Sosma, termasuklah yang dibangkitkan oleh Hassan.

Antaranya tempoh reman yang dikatakan terlalu lama dan kesukaran akses kepada khidmat guaman.

Rang Undang-undang pindaan itu dijangka akan dibetangkan di parlimen pada 2020.

Dalam Buku Harapan menjelang PRU tahun lalu, PH berjanji untuk memansuhkan beberapa akta, dan memansuhkan peruntukan-peruntukan zalim dalam beberapa akta lain - temasuklah Sosma.