Polis menahan seorang pembantu taska selepas dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis semasa hadir di pejabat pertanyaan Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Lumut, Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita berumur 32 tahun terbabit dikatakan menemani ahli keluarganya ke balai untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Khim berkata semasa membuat laporan, suspek bertindak menjerit dan bercakap kasar dengan anggota bertugas kerana tidak berpuas hati.

“Pihak polis cuba menenangkan suspek namun wanita itu masih bersikap biadab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chong berkata wanita tersebut ditahan serta-merta mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung setelah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

"Orang awam dinasihati supaya sentiasa memberi kerjasama dan menghormati tugas anggota polis ketika berurusan di balai mahupun lapangan," katanya.

Difahamkan, kejadian didapati berlaku apabila wanita berkenaan tiba-tiba naik angin lalu mengeluarkan kata kesat seperti "police got no manners" (polis tiada adab) dan "polis bodoh" kepada pegawai dan anggota bertugas sebelum terus keluar dari pejabat.

- Bernama