Penemuan mayat seorang lelaki di Tasik Paya Bungor di Kilometer 50, Jalan Kuantan-Maran semalam, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali, berkata kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Katanya tindakan itu diambil selepas polis mendapat bukti bahawa kedua-dua tangan dan kaki mangsa diikat ketika mayatnya ditemui.

“Adik tiri mangsa telah mengesahkan identiti mangsa sebagai Raju A/L Ava Dian, 39, yang beralamat di Kampung Sri Jaya, Maran dan bekerja sebagai mekanik sambilan,” katanya kepada pemberita, di Kuantan, semalam.

Mayat mangsa yang lengkap berpakaian baju berwarna merah dan seluar jeans hitam ditemui oleh orang awam di bahagian tepi tasik berkenaan kira-kira 10 meter dari jalan utama sebelum melaporkannya kepada polis pada 9.55 pagi.

- Bernama