Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuepacs bangkitkan isu gaji, elaun guru dan warden

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melihat kebajikan para guru - termasuk berkaitan elaun - di negara ini khususnya yang berkhidmat di luar bandar.

Presidennya, Azih Muda, turut menyarankan kerajaan mengkaji semula elaun yang diberikan kepada pengetua, guru besar, penolong kanan, ketua bidang dan memberikan elaun setimpal kepada guru disiplin dan guru panitia.

"Misalnya, guru panitia serta guru disiplin ketika ini tidak diberikan sebarang elaun.

"Harapan Cuepacs supaya kekurangan ini diatasi segera,” katanya kepada pemberita pada majlis warga pendidik Semporna bersama Cuepacs di Semporna.

Dalam pada itu, Azih turut mencadangkan pihak berkaitan seperti Kementerian Pendidikan atau Jabatan Perkhidmatan Awam agar mengecualikan warden sekolah daripada pemotongan elaun rumah (kuarters kerajaan).

"Warden bertugas 24 jam di sekolah, menjaga dan mengawal (pelajar) dan tinggal dalam kuarters kerajaan tetapi elaun rumah dipotong," katanya lagi.

Selain itu, Azih berkata pihaknya berharap Kementerian Pendidikan menyusun semula gred guru yang memegang portfolio ketua bidang di sekolah kepada 48 dan bukannya gred 44.

"Harapan Cuepacs untuk melihat hab industri pendidikan negara ini terus cemerlang tanpa mengabaikan keperluan guru," katanya.

Sementara itu, Azih turut menzahirkan terima kasih kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana memenuhi janji walaupun tidak menyeragamkan elaun Kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) untuk penjawat awam tetapi menaikkan kadar itu kepada RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana.

Beliau turut menyarankan agar elaun Cola itu dapat diberikan juga kepada penjawat awam Persekutuan gred 48 dan ke bawah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS