Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq jawab gosip dengan ‘cleopatra_x3’

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa dalam dunia politik fitnah dan gosip itu sentiasa berleluasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu tular yang mengaitkannya dengan seorang wanita.

“Saya rasa dalam dunia politik ini fitnah dan gosip berpisah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, satu video tersebar di media sosial apabila seorang wanita berpakaian kebaya datang ke pejabat kementerian belia dan sukan.

Difahamkan wanita itu hadir untuk bertemu dengan Syed Saddiq dan bersamanya terdapat beberapa individu lain.

Terdapat juga cakap-cakap di media sosial yang berkata bahawa wanita tersebut adalah pembantu peribadinya malah ada yang turut berkata wanita itu adalah seorang transgender.

Pengguna Instagram yang menggunakan nama cleopatra_x3 turut berkongsi gambarnya dalam pertemuan dengan menteri muda itu.

Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan e-sukan.

Dapat kontrak? 'Kali pertama saya dengar'

Tambahnya, perjumpaan itu juga dijalankan mengikut prosedur sebetulnya.

“Mesyuarat berkenaan e-sukan dan ikut SOP (prosedur operasi standard).

Syed Saddiq juga berkata pelbagai andaian dan dakwaan berkaitan wanita itu tidak benar.

“Izinkan saya terangkan pertama sekali saya dengar ada fitnah kata itu PA atau setiausaha saya. Itu jelas fitnah dan boleh semak senarai kementerian atau portal KBS. Dari situ boleh tahu.

“Tiba-tiba saya tengok berita tukar bahawa dia ini yang datang merupakan salah seorang transgender, sampai orang guna perkataan pondan.

“Lepas itu saya terus semak dengan kumpulan, dia bukan datang seorang. Dia datang dengan satu kumpulan.

“Saya baru dimaklumkan dia ini ada anak dua orang anak kandung. Itu jawapan tersendirilah,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan wanita itu mendapat banyak kontrak dengan kementeriannya.

“Itu pertama kali dia dengar,” katanya.

Spekulasi-spekulasi itu "tiada mengena dengan mesyuarat", katanya lagi.

Dalam pada itu, wanita itu turut mengulas isu tersebut di laman Instagramnya walau secara ringkas.

"Ibu tunggal dengan dua anak yang cantik. Tamatkan isu ini," katanya sambil mengongsikan gambarnya bersama dua kanak-kanak.

Di hantaran sebelumnya pula, dia memuat naik tangkap layar satu laporan bertajuk 'Syed Saddiq menteri LGBT' dan diiringi kata-kata: "Fokus kepada isu rakyat, bukan politik fitnah dan gosip".

Dia turut mengongsikan dua tangkap layar laporan media di Instagram Story, yang memetik jawapan Syed Saddiq berhubung isu itu, termasuk dakwaan sesetengah pihak bahawa dia ialah seorang transgender.

 


Lihat Komen
ADS